Apapun terjadi, perbicaraan rayuan KJ perlu diteruskan: Hakim

Iklan
Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memberi amaran bahawa tiada lagi penangguhan dalam pendengaran rayuan Khairy Jamaluddin berhubung pembayaran ganti rugi RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah 13 tahun lalu.

Hakim Datuk Lee Swee Seng, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata, kes rayuan pada 2017 itu adalah kali terakhir ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kerana ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri prosiding dalam talian pada Jumaat kerana kurang sihat.

Iklan
Iklan

"Tidak kira apa pun, kita perlu meneruskan kes ini. Kami bersimpati dengan isu kesihatan tetapi ini adalah kes rayuan pada 2017 dan kes ini perlu dilupuskan secepat mungkin tahun ini.

"Pihak pembelaan seharusnya menyediakan peguam lain untuk penghujahan jika ketua pasukan pembelaan kurang sihat. Ini adalah penangguhan terakhir,” kata Swee Seng kepada peguam Sarah Malini Abishegam semasa bersidang bersama-sama Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Darryl Goon Siew Chye.

Iklan

Sarah Malini, peguam Menteri Kesihatan tersebut sebelum itu, memberitahu panel bahawa beliau menerima panggilan daripada Muhammad Shafee yang memaklumkan beliau deman ekoran sakit artritis reumatoid yang lama selain mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan bahu kanannya.

Swee Seng kemudian mengarahkan supaya perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes dan tarikh pendengaran baharu kes rayuan itu oleh pendaftar mahkamah.

Iklan

Peguam Anwar, J Leela tidak membantah dengan permohonan penangguhan itu dan kemudian memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 2 November ini untuk mendengar rayuan tersebut.

Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac 2008, mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal tanpa mendengar meritnya.

Bagaimanapun, pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy terhadap penolakan itu dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengarnya. -Bernama