141 pelancong dari Ipoh ikuti penerbangan sulung ke Langkawi

Iklan
Penumpang pesawat AirAsia memulakan perjalanan dari Ipoh ke Pulau Langkawi yang dijadikan projek rintis gelembung pelancongan dengan menaiki pesawat penerbangan pertama AirAsia airbus A320 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah hari ini. Gambar kecil: Mohd Zolkafly. - Foto Bernama

IPOH - Seramai 141 orang termasuk 23 kanak-kanak menjadi kumpulan pertama mengikuti penerbangan sulung AirAsia dari Ipoh ke Langkawi di bawah inisiatif gelembung pelancongan di sini pada Jumaat.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, muatan penerbangan menggunakan pesawat airbus A320 itu adalah 80 peratus daripada kapasiti maksimum 180 penumpang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, syarikat penerbangan tambang rendah itu telah menawarkan penerbangan Ipoh-Langkawi-Ipoh dengan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Jumaat, Ahad dan Rabu.

"Penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh hari ini pada jam 1.40 petang dengan muatan penerbangan 80 peratus.

Iklan

"Saya dimaklumkan, dua lagi penerbangan iaitu pada 19 dan 22 September ini telah pun mencapai tempahan hampir 50 peratus dengan lebih 70 tempat duduk ke Langkawi telah terjual," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan penerbangan pertama AirAsia Ipoh-Langkawi-Ipoh di LTSAS, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Iklan

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri menyambut baik perkembangan positif itu sekali gus membuktikan orang ramai kini bersedia untuk melakukan kembali perjalanan pelancongan.

Katanya, tahun lalu Perak telah menerima kunjungan pelawat domestik kedua tertinggi selepas Selangor iaitu 13.17 juta pelawat yang mana 4.87 juta daripadanya merupakan pelancong yang bermalam di negeri ini.

"Pelbagai langkah telah diambil bagi mengembalikan keyakinan pengunjung dan pelancong untuk berkunjung ke Perak termasuklah menjayakan program vaksinasi khusus kepada pemain industri pelancongan serta latihan pemantapan dan penilaian prosedur operasi standard (SOP) terhadap produk pelancongan negeri," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nurfadhilah Muhammad, 34, dari Manjung telah menempah tiket penerbangan sejak lima hari lalu untuk bercuti sambil berehat bersama suami dan tiga anaknya ke pulau peranginan itu.

Katanya, anak-anaknya berusia 9, 8, dan 6 tahun paling teruja untuk bercuti kerana sudah terlalu lama berkurung dalam rumah disebabkan pandemik Covid-19.

"Sementara kerajaan berikan peluang untuk bercuti ini, eloklah kita manfaatkan, paling penting kita kena amalkan penjagaan diri dan SOP yang ketat," katanya.

Pasangan suami isteri Norsyamira Buyamin, 32, dan Johan Nasser, 48, dari Kampar juga mengambil peluang bercuti ke Langkawi selepas kali terkahir berkunjung ke situ pada 2013 lalu.

"Kami buat tempahan tiket penerbangan Selasa lepas dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan, kami pun dah lakukan swab test sebelum ini dan keputusan masing-masing negatif," katanya.