'Belum ambil iktibar selepas hampir dua tahun diuji'

Iklan
Tangkap layar video dikongsi memaparkan orang ramai yang memenuhi lokasi.

KLANG - Hampir dua tahun ALLAH turunkan ujian, namun manusia masih belum mengambil iktibar serta pengajaran dan sepatutnya manusia lebih mendekati agama dan takut pada ALLAH.

Demikian antara luahan pengguna Facebook yang ‘geram’ melihat video tular memaparkan kesesakan pengunjung dipercayai di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di hari cuti umum Hari Malaysia pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menerusi satu video dikongsikan Klangkampunghalamanku di laman Facebooknya memaparkan orang ramai memenuhi lokasi itu malah ada yang 'berjoget sakan' tanpa penjarakan fizikal.

Perkara itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen yang menyifatkan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku, kerana peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Iklan

"Nak test (uji) keberkesanan dos kedua. Kalau tidak, tak tahu berkesan atau tidak, tak akan nak berkurung di rumah sahaja," sindir Noor Shaari Siti Fatimah dalam ruangan komen pada Jumaat.

Rohaimi Ini pula berpandangan, kesesakan di lokasi berkenaan kerana orang ramai sudah lama duduk di rumah namun apabila kes Covid-19 meningkat lagi mereka bakal 'dikurung' semula.

Iklan

Sebahagian netizen juga kecewa apabila kesesakan itu tidak dikawal dan dipantau pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaan SOP dipatuhi termasuk mengeluarkan kompaun.

"Mata kena liar sikit, penguat kuasa kesihatan, polis, Marin semua boleh keluarkan saman. Nak seronok dua, tiga jam dapat surat kompaun. Sayang gaji buat bayar kompaun sahaja," tulis Mohd Aqeeb.

Malah, netizen juga meminta orang ramai yang mengunjungi lokasi tumpuan itu agar memastikan kebersihan dijaga selain perlu mematuhi SOP ditetapkan sepanjang berada di tempat awam.

"Santai-santai juga, sampah, lampin pakai buang anak tolong buang ke tempat sepatutnya dan bukan campak merata-rata," kata Zarina Awang yang turut mendapat reaksi tanda suka di ruangan komen itu.

Minggu lalu, tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai yang didakwa tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Berikutan itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, kebenaran merentas daerah untuk melancong di negeri itu perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Menurutnya, pematuhan terhadap SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara perlu diutamakan ketika berada di kawasan rekreasi yang dibenarkan dalam tempoh Fasa Dua PPN di negeri berkenaan.

"Sekarang ini orang ghairah hendak melancong kerana sudah lama terkurung di rumah, jadi kalau ada peluang mereka akan keluar namun perlu mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa Dua PPN berkuat kuasa pada 10 September lalu yang memberi kelonggaran kepada penduduk yang lengkap dua dos vaksin untuk merentas daerah.