LANGKAWI - Kerajaan negeri berharap proses ujian pengesanan Covid-19 yang diwajibkan kepada semua pelancong sebelum masuk ke Langkawi diteruskan bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ujian pengesanan terbabit membolehkan pelancong yang positif Covid-19 dapat dikesan lebih awal sebelum mereka memulakan perjalanan.
Katanya, terdapat kes positif Covid-19 kategori satu dan dua yang tidak bergejala dan pengesanan dapat dibuat melalui ujian berkenaan.
"Kami sudah buat persiapan dan bila buat ujian, ada individu positif. Agak malang kerana mereka tidak dapat meneruskan percutian.
"Saya harap ujian berkenaan diteruskan kerana ia memberi faedah," katanya ketika ditemui di Pantai Chenang di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pelancong dinasihatkan membuat ujian pengesanan jenis Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) lebih awal.
"Sebolehnya mereka buat ujian pengesanan Covid-19 sebelum datang ke jeti dengan membawa dokumen keputusan ujian bersama.
"Kalau tidak buat lebih awal, mereka terpaksa lakukan prosedur berkenaan di terminal feri dan ia mengambil masa dan seterusnya mengganggu perjalanan serta mungkin terlepas feri," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, reaksi ditunjukkan penduduk pulau berkenaan terutama pemain industri pelancongan sangat positif.
"Mereka nampak cukup seronok dan ceria kerana telah lama menantikan saat ini. Saya harap orang yang datang ke sini dapat jaga prosedur operasi standard (SOP) untuk kebaikan bersama," katanya.