SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata, kes penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan isu yang mencemar kesucian agama Islam telah kerap berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.
"Agama Islam adalah agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini.
"Walaupun perbuatan hina Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam ini satu kesalahan di bawah undang-undang, malah tindakan undang-undang serta hukuman telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, namun ia masih tetap berlaku, seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap golongan ini," katanya.
Baginda menzahirkan kekecewaan itu selepas berbincang dengan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor, semalam.
Hanafizah berkata, baginda juga mengingatkan kepada rakyat terutama bukan beragama Islam agar menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW dan mencemar kesucian Islam.
"Perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum serta agama di negara ini.
"Sejarah menunjukkan sesebuah negara boleh menjadi porak-peranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama dianuti pelbagai kaum," katanya.
Sebagai raja yang juga Ketua Agama Islam Selangor, baginda menegaskan, memelihara maruah agama Islam dan maruah junjungan Rasulullah SAW adalah tuntutan utama dalam maqasid syariah, dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa pertahankannya.
Menurutnya, peringatan Sultan Selangor itu perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya terutama golongan bukan Islam jika inginkan keharmonian dan perpaduan kaum serta agama di negara ini terus kekal.
"Peringatan ini bukan sekadar untuk golongan bukan Islam, juga kepada umat Islam, dan pada masa sama umat Islam sendiri pun perlu sentiasa berwaspada melontarkan sebarang pandangan berkaitan agama lain.
"ALLAH SWT melarang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia antara penyebab kepada berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat, selaras dengan Islam sebagai agama yang mementingkan keharmonian dan kehidupan masyarakat," katanya.
Hanafisah berkata, seluruh ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Sultan Selangor dan turut rasa terkesan dengan kekecewaan baginda berkaitan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam.
"Ahli Dewan Diraja Selangor menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil berat atas peringatan Sultan Selangor dengan mengambil langkah berkesan serta efektif bagi menangani masalah ini.
"Penyiasatan terperinci terhadap mereka disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan. Tindakan pendakwaan perlu diambil terhadap mereka tidak bertanggungjawab ini sekiranya terdapat keterangan mencukupi," katanya.