JAKARTA - INDONESIA. Akibat suhu melampau, tiga pelajar sekolah mati kesejukan dipercayai mengalami hypothermia di Gunung Tampomas, Jawa Barat.
Mayat ketiga remaja berpakaian baju lengan pendek dan seluar panjang itu ditemui dalam keadaan menyayat hati merengkuk kesejukan oleh pendaki lain pagi semalam.
Mangsa, Ferdi Firmansyah, 13, Lucky Parikesit, 13, dan Agip Trisakti, 15.
Memetik laporan media tempatan, Ketua Hubungan Masyarakat Badan Nasional dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) Kabupaten Bandung, Joshua Banjarnahor berkata, salah seorang mayat ditemui dalam keadaan merengkuk kesejukan dan pakaian mereka basah akibat terkena hujan.
"Mereka ditemukan dari lokasi berdekatan Pos 4 Gunung Tampomas pada ketinggian 1,040 meter.
"Semua mangsa mendaki tanpa membawa kelengkapan lengkap pendakian seperti jaket atau baju panas serta peralatan lain. Mereka dipercayai mengalami hypothermia akibat suhu dingin, angin kencang dan hujan berlaku pada malam Sabtu," katanya.
Difahamkan, Gunung Tampomas berketinggian 1,684 meter adalah gunung berapi yang terletak di utara Kota Sumedang, Jawa Barat dan suhu di puncak gunung itu pada waktu malam boleh mencecah 13 darjah celcius hingga 0 darjah celcius. - Tribun