Kebun atas ratusan teksi 'terbiar' jadi perhatian

Iklan
Kewujudan kebun sayur yang unik kini menjadi perhatian di sebuah tapak letak kenderaan di Bangkok, Thailand. - Foto AP

BANGKOK - Kewujudan kebun sayur yang unik kini menjadi perhatian di sebuah tapak letak kenderaan di Bangkok, Thailand.

Daun bawang, selasih, terung dan cili yang subur kelihatan tumbuh di batas tanah yang diperbuat daripada buluh.

Iklan
Iklan

Batang padi diselerakkan di atas tanah itu untuk memastikan ia terus lembap di bawah terik matahari.

Nampak seperti perkara biasa, kecuali semua sayuran itu tumbuh di atas bumbung dan bonet ratusan teksi.

Iklan

Sekurang-kurangnya 200 teksi diletakkan di sebuah tapak letak kereta di kawasan Koperasi Teksi Ratchapruek di Bang Waek Road sejak setahun lalu.

Semua kenderaan itu ditinggalkan oleh pemandunya yang tidak lagi mampu mengendalikannya akibat pandemik Covid19.

Iklan

"Semua pekerja saya tertekan. Kami semua tertekan di pejabat. Maka, kami membuat keputusan untuk menanam apa saja jenis sayuran yang boleh dimakan bersama sambal cili,” ujar Thapakorn Asawalertkul, 54, kepada agensi berita Channel NewsAsia.

Thapakorn merupakan penasihat kepada Koperasi Teksi Ratchapruek dan Baworn, yang memiliki kira-kira 8,000 teksi.

Namun, sejak pandemik melanda Thailand tahun lalu, pemandu teksi menderita dari aspek kewangan. Pendapatan mereka merosot teruk akibat ketiadaan penumpang sementara hutang pula bertambah.

Apabila tidak mampu membayar sewa guna, ramai yang meninggalkan kenderaan masing-masing kepada koperasi itu dan pulang ke kampung halaman.

"Mereka meninggalkan beban juga kepada kami kerana wang pendahuluan yang dibayar sebelum ini tidak banyak,” ujar Thapakorn yang kelihatan letih dan kurang bermaya kerana tidak cukup tidur memikirkan masalah itu.

Dia memberitahu, dua koperasi teksi kini menanggung beban berjumlah 3 bilion Baht (RM376 juta) daripada lebih 2,900 kontrak yang tidak dipenuhi.

"Hal ini sangat kritikal dan bunganya sangat mahal. Saya tidak melihat jalan keluar,” keluhnya.

Beberapa pekerja syarikat itu kini menguruskan kebun sayur berkenaan, dengan menyiram tanaman, menggembur tanah dan menuai hasil.

"Terlalu banyak kenderaan di sini dan kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Maka, kami menanam sayur untuk dijual dan dimakan. Apa yang tersisa akan dikongsi bersama ahli dan pemandu kami,” kata Kanlaya Kongnimit, yang telah berkhidmat dengan koperasi itu selama 15 tahun.- Awani