YANGON - Kumpulan Wartawan Asia menuntut pembebasan segera bekas ketua pengarang Mizzima yang ditangkap dan didakwa oleh junta Myanmar pada Rabu lalu.
Pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) sebelum ini melaporkan bahawa Ko Myo Thant ditangkap di Kangye Htaung, sebuah bandar di barat daya wilayah delta Sungai Irrawaddy.
Menurut RSF, Myo Thant yang sebelum itu bersembunyi terpaksa menyerah diri selepas mengetahui pasukan keselamatan mengugut untuk menahan ibu saudaranya.
Susulan itu, Myo Thant ditahan kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) dan beliau kini difahamkan ditempatkan di pusat tahanan Sing Tang serta didakwa di bawah Seksyen 505 (A) kanun Keseksaan atas dakwaan menyebarkan berita tidak benar.
Jika disabit kesalahan, Myo Thant berdepan hukuman tiga tahun penjara.
Myo Thant mengikuti program Asian Journalism Fellowship di Singapura pada 2016 dan jarang berkomunikasi dengan peserta program berkenaan sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu.
Menurut kenyataan Kumpulan Wartawan Asia, dalam komunikasi terakhirnya pada Mei lalu, Myo Thant memberitahu dia sedang bersembunyi dan bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya serta rakan wartawan lain yang terpaksa melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.
"Myo Thant sebahagian daripada senarai wartawan yang ditangkap. Dia didakwa dan diganggu kerana menjalankan tugas di Myanmar.
"Kami menuntut agar Myo Thant dan rakan-rakan wartawan lain dibebaskan segera dan pertuduhan mereka digugurkan.
"Kebebasan akhbar adalah prinsip penting yang mesti dihormati oleh semua negara," katanya.
Berdasarkan data RSF, seramai 53 orang wartawan ditahan Junta sehingga 16 September lalu. - Agensi