KUALA TERENGGANU - Lebih satu tan sampah dikumpul di 22 kawasan peranginan di Terengganu susulan peningkatan jumlah pengunjung selepas negeri itu memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jumaat.
Ketua Sukarelawan Geng Plastik Ija (Kuala Terengganu), Dr Mohamad Ariff Hafizi Fouzi berkata, 314 beg plastik sampah seberat 1,081 tan itu dikumpul 131 peserta yang menjalankan tugas sempena World Cleanup Day dijalankan di kawasan pantai tumpuan pengunjung bermula jam 7.30 pagi, pada Sabtu.
"Antara sampah terkumpul ialah botol-botol minuman termasuk bungkusan makanan ditinggalkan di merata-rata tempat di sekitar kawasan pantai.
"Kami percaya sampah sarap ini ditinggalkan pengunjung sejak sehari lalu iaitu pada Jumaat setelah peralihan Terengganu ke Fasa Tiga PPN serta kelonggaran diberikan terhadap taman rekreasi tumpuan awam," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Beliau berkata, antara lokasi terlibat ialah Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu; Pantai Chagar Hutan, Kemaman; Pantai Jambu Bongkok, Marang; Pantai Air Tawar, Besut; Pantai Sura, Dungun serta beberapa lagi pantai menjadi tumpuan pengunjung.
Menurut Dr Mohamad Ariff Hafizi, aktiviti pembersihan kawasan pantai menjadi rutin pasukan sukarelawan ini saban minggu sebelum penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Setelah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), proses terhenti dan kini kembali diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP).
"Beberapa tinjauan dilakukan di kawasan peranginan di sini ketika PKP mendapati hampir kesemua kawasan berkenaan bersih daripada sampah.
"Bagaimanapun, setelah lokasi ini dibuka semula kepada pengunjung, kami dapati banyak sampah sarap ditinggalkan begitu sahaja," katanya.
Dr Mohamad Ariff Hafizi yang juga merupakan Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, kesedaran sivik pada tahap rendah menyebabkan masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat masih menjadi isu yang membelenggu masyarakat.
"Ogos lalu, ketika pantai masih bersih dan belum dibuka kepada orang ramai terdapat seekor penyu yang mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Fenomena ini jarang berlaku.
"Jika segelintir daripada kita masih memgekalkan sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata-rata tempat, sudah tentu fenomena begini tidak akan berlaku lagi malah sampah sarap yang ditinggalkan sebaliknya menjadi ancaman kepada spesies hidupan marin berkenaan," katanya lagi.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai supaya turut sama mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk menitikberatkan pembuangan sampah sarap di tempat yang betul.