Operasi Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat ditamatkan

Iklan
Hishammuddin - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengoperasian Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat ditamatkan selepas 41 hari beroperasi, susulan perkembangan positif situasi pandemik Covid-19 di Lembah Klang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut diambil dengan persetujuan GKVSTF bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas jumlah kes harian Covid-19 mulai menurun, kapasiti hospital semakin terkawal, selain peningkatan jumlah individu yang lengkap divaksinasi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dengan penamatan operasi itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai pengoperasian berkaitan Covid-19 di seluruh negara.

"Ia antara lain termasuk mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal pasti oleh KKM dan menambah pasukan ‘Combat Medic Vaccination Team’ (CMVT) bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khususnya di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, ATM juga akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam.

Hishammuddin berkata, penglibatan anggota Tentera Darat (TDM) dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar, sekali gus membantu KKM dalam menangani situasi Covid-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis.

Iklan

Katanya, melalui pengoperasian tersebut, TDM telah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai penugasan dalam kawasan Zon Merah Covid-19 di hospital Lembah Klang.

Ia merangkumi menugaskan ‘Oxygen Carrier Team’ (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti 14,258 silinder oksigen, serta menempatkan ‘Rapid Resupply Team’ (RRT) bagi membantu proses pengambilan dan pengedaran peralatan perubatan yang kritikal.

TDM juga mengatur gerak ‘Body Management Team’ (BMT) yang telah membantu mengurus 4,442 mayat pesakit Covid-19, yang membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang.

"Tiada yang mudah bagi melaksanakan setiap operasi tersebut namun dalam apa jua keadaan, ATM tetap fokus dan memanfaatkan setiap kepakaran serta kemudahan yang dimiliki demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di era Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.

Hishammuddin turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada 1,080 anggota TDM yang terlibat dalam operasi tersebut atas kesanggupan bertugas sepanjang masa, merisikokan nyawa dan berjauhan dengan keluarga demi menyelesaikan misi yang diamanahkan.

Beliau turut mengucapkan terimah kasih kepada semua anggota TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia atas khidmat bakti, disiplin dan kesungguhan dalam membantu negara memerangi Covid-19. - Bernama