KUALA LUMPUR - Datang ke Malaysia menggunakan pas pelajar sejak lima tahun lalu, namun sebaliknya disyaki berperanan sebagai ahli kimia memproses dadah.
Itu peranan lelaki warga Rusia yang terlibat dalam sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah tempatan serta antarabangsa yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan bermula jam 5.45 petang ini berjaya membongkar dua makmal haram dengan rampasan dadah dianggar bernilai RM6.75 juta.
Menurutnya, seramai 10 individu membabitkan tiga warga tempatan dan tujuh warga asing berusia 24 hingga 39 tahun telah ditahan.
"Dua buah banglo terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan Jalan Kemajuan, Petaling Jaya telah digempur.
"Tujuh lelaki ditahan membabitkan enam warga India dan seorang warga Rusia. Polis turut merampas sepucuk pistol dan pelbagai peralatan memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mohmad berkata, selain itu, tiga lagi suspek membabitkan warga tempatan termasuk seorang wanita juga telah ditahan dalam tangkapan berasingan di sekitar Petaling Jaya.
Katanya, dengan lumpuhnya sindiket ini, enam buah kenderaan jenis BMW 6 series, Honda City, Honda Accord, Toyota Hilux dan Perodua Axia serta motosikal Kawasaki ER6N telah disita.
"Mata wang berjumlah RM10,840, seutas jam rantai dan seutas rantai leher juga disita," katanya.
Tambahnya, rampasan disyaki dadah pula melibatkan 92.44 kilogram (kg) syabu, 22.05 kg cecair syabu, 1.85 kokain dan 32.6 kg serbuk prekursor ephedrine.
Mengulas lanjut, dipercayai sindiket ini menjadikan banglo dua tingkat sebagai makmal memproses dadah yang dikendalikan oleh suspek warga Rusia. Polis juga percaya dadah ini akan diseludup keluar ke negara jiran.
"Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek sedang direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.