VIETNAM meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 jenis Abdala yang dihasilkan di Cuba.
Vaksin Abdala adalah vaksin ke-8 yang diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Vietnam.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kerajaan memaklumkan vaksin tersebut diluluskan bagi penggunaan kecemasan untuk mengawal penularan Covid-19.
Kementerian Kesihatan Vietnam bulan lalu menyatakan Cuba akan membekalkan sejumlah besar bekalan vaksin Abdala dan memindahkan teknologi pengeluaran menjelang akhir tahun ini.
Untuk rekod, Vietnam antara negara dalam kalangan Asia Tenggara yang mencatat kadar vaksinasi rendah, dengan hanya 6.3 peratus daripada 98 juta populasinya sudah menerima dua dos vaksin.
Vietnam mencatatkan jumlah kumulatif 667,650 kes positif Covid-19 dengan 16, 637 kematian setakat ini.
Kebanyakan kes baharu yang dilaporkan adalah akibat penularan varian Delta.
Pada Jun, Cuba mengumumkan penggunaan vaksin Abdala yang memerlukan tiga suntikan, dan menunjukkan 92.98 peratus keberkesanan terhadap Covid-19. - Awani