HUKUMAN yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi setiap kesalahan dilakukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) seharusnya memberikan pengalaman dan pengajaran supaya kesalahan sama tidak diulangi semula pada masa depan.
Malah menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, tindakan tatatertib yang diambil badan induk bola sepak negara terhadap individu yang tidak memiliki semangat kesukanan semasa perlawanan berintensiti tinggi juga sewajarnya menyedarkan pihak lain.
"Setiap kesalahan ada hukuman dan hukuman yang dikenakan perlulah menyedarkan semua pihak supaya mereka tidak mengulanginya pada masa hadapan.
"Sekiranya kesalahan yang ‘hampir sama’ masih berulang maka itu adalah pilihan oleh mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
"Saya menghormati keputusan yang telah diputuskan kerana sudah tentu mereka yang arif mempunyai alasan yang lebih baik daripada apa yang mungkin kita fikirkan," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Tindakan pemain dan pegawai Sarawak United yang mencetuskan kekecohan semasa menentang Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur akhirnya menerima padah apabila masing-masing dikenakan hukuman.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu pada Jumaat telah mengenakan tindakan penggantungan dan denda terhadap tiga pemain dan tiga pegawai termasuk pengendali Sarawak United, E Elavarasan susulan insiden di Cheras itu.
Pada masa sama Subkhiddin juga mengakui kecewa dan terkilan apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM perlu mengambil tindakan sedemikian walaupun insiden tersebut telah berlaku sebelum ini.
"Cuma saya sangat sedih apabila kita perlu memilih untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan seumpama ini, sedangkan setiap dari mereka mempunyai pilihan untuk tidak ‘mengulanginya’ setelah beberapa insiden sebelum ini sepatutnya menjadi sandaran kukuh kepada semua pihak untuk mengulanginya.
"Umpama pengadil yang telah ‘menunjukkan’ kad kuning dalam perlawanan, ianya bukanlah untuk pemain yang bersalah sahaja (individu) tetapi kad kuning tersebut adalah amaran yang perlu diambil perhatian oleh semua pemain yang lain.
"Sekiranya mereka tidak ambil peduli amaran telah diberikan maka tindakan lebih keras akan menyusul yang mana akan berakhir dengan kad merah. Bermaksud berakhirlah ‘hubungan’ pemain tersebut dengan perlawanan pada hari berkenaan," ujarnya.