SHAH ALAM -"Masa saya sampai, saya lihat mereka tidur di dalam kereta dan mereka terkejut tengok ada seseorang datang menghampiri".
Demikian perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Her Loy Sian mengenai pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka yang ditemuinya tidur di dalam kereta di Bandar Kajang untuk meneruskan kelangsungan hidup baru-baru ini.
Loy Sian berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas mendapat laporan mengenai kesulitan yang dihadapi pasangan itu dikenali sebagai Mohd Risainy dan Hafizah.
"Bermacam-macam persoalan di kepala saya bila melihat keadaan mereka berhimpit-himpit tidur di dalam kereta," katanya berkongsi kisah keluarga itu dalam catatan di laman Facebooknya pada Sabtu.
Loy Sian berkata, selepas mengajukan beberapa soalan, wanita yang berada di dalam kereta itu kemudiannya menjelaskan keadaan sebenar dihadapi mereka.
"Saya dengan tenang bertanya dan secara langsung berjanji untuk menolong mereka, kemudian si ibu bernama Hafizah menjelaskan akan keadaan mereka sekeluarga.
"Dia mempunyai tujuh orang anak, tiga orang telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang meninggal kerana sakit dan tiga lagi dijaga olehnya," katanya.
Beliau berkata, keluarga terbabit turut memaklumkan mereka diusir dari rumah sewanya dua bulan lalu kerana banyak tunggakan sewa malah tuan rumah juga tidak membenarkan barang-barang mereka dibawa keluar dari rumah sewa terbabit.
"Dalam masa dua bulan tersebut, ada juga rakan yang menawarkan tempat tinggal kepadanya tetapi mereka tidak boleh lama menumpang.
"Jika mereka tiada tempat tinggal, mereka akan tidur di dalam kereta di sekitar bandar Kajang dan tempat mereka kerap berhenti adalah di hadapan RHB Bank Kajang," katanya.
Simpati dengan keadaan itu, Loy Sian kemudiannya menempatkan keluarga pasangan terbabit di sebuah rumah sewa baharu pada hari yang sama selepas mereka berjumpa.
Malah Hafizah turut dibawa ke sebuah pasar raya keesokkan harinya untuk membeli barangan asas mereka termasuk barangan bagi memulakan perniagaan menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.
"Saya membawanya membeli beberapa bahan dan alat untuk dia memulakan perniagaan itu. Kami membeli peti sejuk, tilam, dapur memasak dan barangan berkaitan," katanya.
Loy Sian turut memaklumkan Hafizah turut dibantu suaminya yang sebelum ini kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan untuk memulakan perniagaan itu berhampiran Masjid Jamek Bandar Kajang
"Mereka mempunyai hasrat ingin berkumpul kembali sebagai sebuah keluarga seperti orang lain jika perniagaan itu stabil," katanya yang turut meminta agar orang ramai membantu dengan memberikan sokongan terhadap usaha pasangan terbabit.