City tak cukup bagus

Iklan
City gagal memungut tiga mata ketika menentang Southampton.

MANCHESTER City disifatkan tidak berada pada prestasi terbaik selepas hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada Sabtu.

Pengendali City, Pep Guardiola berkata, para pemainnya juga kerap hilang bola dalam perlawanan tersebut yang memberikan kesan kepada corak serangan pasukan.

Iklan
Iklan

"Kami seri perlawanan ini menentang pasukan yang bertahan dengan bagus. Mereka mempunyai pemain yang berkualiti seperti Oriol Romeu yang merupakan antara pemain tengah terbaik dalam EPL.

"Mereka (Southampton) bagus dan kami perlu menilai kembali permainan kami. Terdapat beberapa perkara yang kurang bagus dalam pasukan kami pada perlawanan ini," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Guardiola juga menafikan kegagalan untuk mendapatkan penyerang baharu pada jendela perpindahan lalu sebagai sebab utama buntu dalam perlawanan menentang Southampton itu.

"Kami tidak menang hari ini bukan kerana kami tidak mempunyai penyerang. Ia kerana kami melakukan proses membina serangan dengan salah.

Iklan

"Apabila gagal membina serangan dengan baik, bola berkualiti tidak akan sampai kepada pemain di bahagian serangan.

"Ketiadaan penyerang bukan penyebabnya. Sebabnya adalah kami tidak melakukan proses bermula daripada empat pemain pertahanan dan Fernandinho," katanya.

City hanya mampu merekodkan satu percubaan tepat dalam perlawanan itu - rekod paling buruk pernah dicatatkan mereka dalam saingan EPL sejak 2017.