Rakyat jangan leka, jaga SOP: Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan apabila lebih banyak sektor akan dibuka menjelang negara memasuki fasa endemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memberikan nasihat itu berkata, penting untuk masyarakat berbuat demikian kerana perkembangan semasa menunjukkan masih berlakunya kluster Covid-19 melibatkan sektor tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya kluster berkenaan wujud akibat sikap sesetengah masyarakat yang mula alpa menjaga SOP susulan lebih banyak sektor ekonomi dibuka dan perkara itu boleh dilihat menerusi aktiviti sosial yang dilonggarkan baru-baru ini.

"Ini (kewujudan kluster) kerana kadang-kadang kita dah macam ‘okey kembali normal, tak payah lagi dah nak ikut SOP’. Kita dapat lihat dari segi aktiviti sosial juga ramai juga yang macam dah lupa (menjaga SOP)," katanya dalam rancangan Optik @ Selamat Pagi Malaysia bertajuk, Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbitan RTM pada Ahad.

Iklan

Tengku Zafrul berkata demikian menjawab pertanyaan hos rancangan itu berhubung nasihat beliau tentang peranan paling penting yang boleh dijalankan masyarakat untuk membantu mereka melalui kehidupan selesa seperti biasa dengan pembukaan ekonomi lebih stabil.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan bersikap terbuka membantu mereka yang terkesan dari segi ekonomi, malah buat kali pertama dalam sejarah negara, kementerian itu telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) menjelang Belanjawan 2022.

Iklan

Menurutnya, kementerian itu juga memberi peluang kepada rakyat berjumpa mereka secara maya dan bertulis, selain mengeluarkan kertas konsultasi awam untuk mendengar dengan lebih mendalam pendapat pakar dari luar.

"Itulah dua fokus kami untuk membantu rakyat dan juga perniagaan buat masa terdekat ini dan juga membuat perancangan untuk tahun 2022 supaya negara kita pulih semula.

"Kami (Kementerian Kewangan) agak optimistik, kami dapat lihat forecast ataupun unjuran IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia untuk Malaysia tahun depan adalah agak positif," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras PPN menjelaskan PPN merupakan pelan yang dinamik dengan menggunakan data semasa untuk membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jawatankuasa pengurusan pandemik.

Beliau berkata, PPN akan menggunakan laporan terbaru yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga peringkat antarabangsa untuk membuat keputusan dalam pelan tersebut.

"Apa yang kita dapat lihat, contohnya dos penggalak (Covid-19), ini perbincangan telah diadakan di KKM (Kementerian Kesihatan), Menteri kesihatan pun telah buat pengumuman yang kita akan mulakan dos penggalak, InsyaALLAH dalam masa terdekat. Dalam PPN kita fokus kepada ekonomi dan juga sosial," katanya.- Bernama