Bekas ADUN Kunak selamat dikebumikan

Iklan
Nurina (kiri) bersama ahli keluarga selesai menyempurnakan upacara pengebumian Allahyarham Nilwan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Putatan, Putatan.

PUTATAN - Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari Ahad.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Ulu Putatan, di sini.

Iklan
Iklan

Anak sulungnya, Nurina, 41, menjelaskan, Allahyarham dijangkiti Covid-19, namun disahkan sudah sembuh selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

"Menurut doktor selepas lebih 20 hari virus itu sudah tiada dalam badan. Cuma, semalam (Sabtu) dia mahu direhatkan kerana mengalami sedikit komplikasi apabila ada jangkitan pada paru-paru.

Iklan

"Dia dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan direhatkan pada jam 8.30 pagi semalam (Sabtu) sebelum kami dimaklumkan pada kira-kira jam 10 pagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian, selepas selesai upacara pengebumian pada Ahad.

Katanya lagi, Allahyarham dalam separa sedar dan masih boleh memberi respons kepada mereka melalui panggilan video.

Iklan

"Kali terakhir kami buat panggilan video kira-kira jam 11.30 malam tadi dan dia masih boleh respons melalui pergerakan mulut dan mata.

"Dalam jam 3 pagi, oksigen ayah merudum dan sesak nafas sedikit. Doktor belum maklumkan kami kerana mereka cuba selamatkannya sehingga jam 3.30 pagi. Ayah sudah tiada pada jam 3.45 pagi dan kami dimaklumkan 15 minit kemudian," katanya.

Sebelum itu, Nurina menyifatkan bapanya seorang yang penyayang, bukan saja kepada mereka enam beradik tetapi juga kepada anak angkat dan anak saudaranya.

"Begitu juga kepada rakyat dia tidak pernah bezakan, dia sanggup keluarkan wang daripada poket dia sendiri untuk bantu rakyat.

"Dia juga bukan jenis yang pentingkan nama atau pangkat. Bagi dia, gelaran 'Datuk' itu tiada apa-apa. Dia juga tegas namun tidak pernah jentik kami, pada masa sama dia fokus kepada pendidikan agama untuk kami adik-beradik," katanya.

Sinar Harian melaporkan Nilwan meninggal dunia pada jam 3.45 pagi selepas sebulan dirawat di hospital akibat jangkitan Covid-19.