Pematuhan SOP di Terengganu memuaskan

Iklan
Pasukan Penyelamat Pantai bukan sahaja bersiap siaga dari segi aspek keselamatan malah turut membantu mengekang penularan Covid-19.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh kebanyakan pengunjung di lokasi peranginan di negeri ini berada pada tahap memuaskan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, bagaimanapun usaha masih diteruskan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menitikberatkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di lokasi tumpuan awam.

Iklan
Iklan

Katanya, bagi mengekang situasi itu, Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) APM memainkan peranan dalam memastikan tahap pematuhan SOP yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

"Seramai enam hingga tujuh anggota kita yang terlibat dalam ABC-19 terutama pada hujung minggu akan berada di lokasi hotspot yang menjadi tumpuan orang ramai.

Iklan

"Mereka lazimnya akan memberi nasihat dan teguran sekiranya terdapat individu yang enggan mematuhi SOP selain mengagihkan bahan bacaan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan sepanjang pandemik serta bahaya Covid-19.

"Kebanyakan orang awam patuh terhadap saranan yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Pasukan (ABC-19) menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan ketika berada di lokasi tumpuan awam di Tasik Kenyir.

Dalam pada itu, katanya, APM Terengganu telah mengaktifkan menara tinjau Pasukan Penyelamat Pantai di empat lokasi tumpuan awam di Terengganu.

Katanya, antara lokasi terlibat ialah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu; Pantai Pulau Kekabu, Marang; Pantai Bukit Kluang, Besut dan Pantai Teluk Dalam Pulau Redang di Kuala Nerus.

"Disebabkan kawasan-kawasan ini menjadi tumpuan pengunjung, pasukan petugas bersiap siaga untuk bertindak sekiranya terdapat kes kecemasan yang tidak diduga.

"Selain itu, mereka juga turut mengawal keselamatan pengunjung supaya mematuhi dan mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.