Penerima vaksin ke 49,900 dapat hadiah motosikal

Iklan
Mohd Isham (kanan) menerima motosikal sumbangan Mahdzir (kiri) di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang, Padang Terap pada Ahad.

PADANG TERAP - Seorang pesawah dari Padang Sanai di sini tidak menyangka mendapat hadiah sebuah motosikal selepas menjadi penerima vaksin Covid-19 yang ke 49,900 di daerah ini.

Mohd Isham Md Isa, 44, mendapat hadiah yang disumbangkan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu selepas menerima suntikan vaksin di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia sememangnya terkejut apabila menerima hadiah berkenaan yang dirasakan amat bernilai kepada dirinya.

"Saya memang sedang mengumpul wang untuk membeli motosikal baharu sejak beberapa tahun lepas. Motosikal terpakai yang saya beli sejak lima tahun lepas digunakan untuk ke sawah padi dan semakin uzur.

Iklan

"Tidak sangka pula mendapat rezeki sebegini. Saya akan menggunakan motosikal ini untuk berulang alik mendapatkan rawatan masalah kesihatan saya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya kepada pemberita selepas menerima motosikal daripada Mahdzir di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang di sini pada Ahad.

Mohd Isham yang masih bujang berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar atas sumbangan motosikal tersebut.

Iklan

Sementara itu, Mahdzir berkata, sumbangan itu sebagai tanda meraikan kejayaan semua pihak dalam mencapai sasaran pemberian vaksin Covid-19 di daerah Padang Terap.

Menurutnya, pihaknya menghargai usaha penduduk Padang Terap yang keluar beramai-ramai mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri dan masyarakat setempat.

"Ini adalah hasil kerjasama dan usaha keras semua pihak bagi menjayakan program vaksinasi di kawasan itu seperti pandu lalu dan 'outreach' kepada penduduk kampung," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa angka 49,400 dipilih kerana ia merupakan jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam daerah Padang Terap yang layak divaksinkan berdasarkan bancian dilakukan pada tahun 2010.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata, lebih 2,000 remaja berusia 16 dan 17 tahun di daerah Padang Terap akan menerima suntikan vaksin bermula Isnin.