KUALA BESUT- Sejak petang tadi, tular sebuah video berdurasi 2.50 saat tentang kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah bank pekan baharu Kuala Besut.
Video itu memaparkan seorang lelaki yang memakai baju kemeja-T hitam dipukul beberapa lelaki.
Mangsa yang berusia lewat 30-an itu dipercayai menjalinkan hubungan dengan isteri orang dan 'ditangkap' sendiri oleh suami wanita itu ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan bank tersebut kira-kira jam 1.45 petang tadi.
Kejadian itu disedari orang ramai yang kemudiannya bertindak menarik keluar lelaki dari kereta yang dipercayai milik wanita tersebut.
Difahamkan mereka berkenalan melalui laman sosial Facebook dan lelaki itu datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu wanita tersebut.
Dalam pada itu, video itu turut menunjukkan wanita tersebut cuba mempertahankan lelaki tersebut daripada dipukul orang ramai.
Sementara itu, polis turut mengesahkan kekecohan yang dirakam dan tular di media sosial hari ini berlaku di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan mangsa dan wanita itu telah dibawa ke Balai Kuala Besut sejurus kejadian itu.
Menurutnya, bagaimanapun mereka enggan membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
"Mereka tidak mahu buat laporan walaupun sudah di bawa ke balai polis dan difahamkan wanita itu mempunyai masalah rumah tangga dengan suaminya,” katanya.