PENDANG - Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Petronas secara rintis di Kampung Nam Dam di sini merekodkan hasil memberangsangkan sekali gus meningkatkan pendapatan petani.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, purata hasil pengumpulan bagi satu musim pengeluaran padi menggunakan kaedah dan prosedur operasi standard PTPB menunjukkan peningkatan sebanyak 7 tan metrik per hektar berbanding 2.95 tan metrik pada musim terdahulu.
Menurutnya, teknik penanaman padi secara sistematik serta bimbingan tenaga mahir sebagai penasihat kepada pesawah mampu menarik minat peladang muda menceburi bidang itu berikutan peningkatan pendapatan.
"Program ini melibatkan 68 pesawah yang merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang dengan keluasan 70 hektar bermula April lalu.
"Projek sulung ini turut melibatkan kerjasama rakan strategik iaitu syarikat subsidiari Nafas, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd yang membekalkan baja berformulasi khas dan Petronas Chemicals Group Berhad yang membekalkan baja Agrenas DTU atau dikenali sebagai urea biru yang mempunyai kadar penyerapan lebih efisien.
"Selain itu, Thirty Three Management Sdn Bhd membekalkan input rawatan tanah, Antah Bumimedic Sdn Bhd membekalkan bahan berformulasi bagi merawat benih dan menangkis serangan kulat dan serangga, Braintree Sdn Bhd membekalkan perkhidmatan kepakaran pengendalian dron pertanian serta Advansia Sdn Bhd membekalkan input racun, khidmat nasihat dan kepatuhan dalam penggunaan racun perosak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan musim menuai PTPB Model Nafas-Petronas di sini pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azah Hanim Ahmad; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemical Group, Mohd Kabir Noordin.
Kejayaan besar
Nik Muhammad Zawawi berkata, kerjasama strategik seumpama itu akan membuka peluang kepada generasi muda menceburi bidang pertanian sebagai satu profesion yang menjanjikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh dan dibantu teknologi moden serta terkini.
Perkara itu, kata beliau, secara tidak langsung dapat mengubah landskap industri padi dan beras negara serta mencapai matlamat kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara sepanjang masa.
Sementara itu, Zamri berkata, peningkatan hasil pengeluaran padi melalui projek rintis tersebut adalah satu kejayaan besar dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan petani.
Menurutnya, Nafas bersedia untuk bersama-sama MAFI dalam merancakkan penanaman padi secara berskala besar seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara iaitu daripada 70 peratus ke 75 peratus.
"Nafas merancang untuk menyambung lagi projek sama untuk tiga musim akan datang di Kampung Nam Dam dengan keluasan 75 hektar.
"Kami turut merancang untuk memperluas PTPB di beberapa kawasan berpotensi yang dikenal pasti di Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dengan menyasarkan keluasan 5,000 hektar keseluruhan dengan berkonsepkan sosial ekonomi dalam konteks menjayakan agenda sekuriti makanan negara,” kata Zamri.
Mohd Kabir pula berkata, pihaknya bekerjasama dengan Nafas dari segi menyediakan baja urea biru yang membantu pesawah meningkatkan pengeluaran hasil padi mereka.
"Ia kini sudah terbukti mampu meningkatkan pengeluaran padi petani.
"Kita juga menggunakan dron bagi meningkatkan kecekapan dan menggunakan khidmat tenaga mahir seperti penasihat padi pakar,” katanya.
Mohd Kabir turut memaklumkan pihaknya berhasrat untuk memperluaskan pendekatan itu ke seluruh negara serta ke luar negara pada masa akan datang.