KUANTAN - Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 225.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, di sini malam Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Bin Shou Chang, 32 beralamat di Taman Putri, Kulai, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu sebuah lagi lori, S Santhiran, 49, dan kelindan, S Segar, 45 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika kedua-dua buah lori dalam perjalanan dari arah sama menghala ke Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal lorinya lalu melanggar bahagian belakang lori dipandu Santhiran yang berada di lorong kiri.
"Akibatnya, mangsa tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
"Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kamarulzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.