KUALA LUMPUR - Kebimbangan yang kian ketara berikutan kemunculan pelbagai varian Covid-19 telah memperkuat keperluan untuk kerajaan campur tangan bagi menyokong ekonomi, melindungi isi rumah serta golongan rentan dengan menyesuaikan dasar fiskal yang diperluas selain meningkatkan had hutang dalam jangka pendek.
Tahun lalu, Malaysia telah menaikkan had statutori hutang kepada 60 peratus daripada 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan rancangan sedang berjalan untuk meningkatkannya menjadi 65 peratus bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam mengukuhkan ekonomi domestik dan memastikan pemulihan yang mampan.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Afrika Selatan juga telah mengambil langkah yang sama.
"Apa sahaja angka nisbah hutang kepada KDNK di bawah 75-80 peratus dianggap masih dapat diuruskan. Maka, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana hutang Malaysia kepada KDNK adalah seiring dengan jangkaan peserta pasaran," demikian menurut ketua ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.
Menurut, pangkalan data Tinjauan Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa, Jepun dengan jumlah penduduknya 127.18 juta mempunyai hutang negara tertinggi di dunia pada 257 peratus daripada KDNKnya.
Hutang negara China pula kini 54.44 peratus daripada KDNKnya, peningkatan yang besar daripada 41.54 peratus pada tahun 2014.
Sementara itu, Institut Kewangan Antarabangsa (IIF) dalam terbitannya baru-baru ini menyatakan bahawa hutang global, yang terdiri daripada hutang bank kerajaan, isi rumah dan korporat, melonjak AS$4.8 trilion kepada AS$296 trilion pada akhir Jun 2021.
"Kenaikan tahap hutang ini adalah paling ketara dalam kalangan pasaran baharu muncul," katanya.
Shan seterusnya menyatakan dasar fiskal yang diperluas akan memberi lebih banyak ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan rentan.
Sejak tahun lepas, kerajaan telah melancarkan tujuh pakej rangsangan bernilai keseluruhan RM380 bilion.
Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Goh Lim They pula berkata, meningkatkan had statutori hutang boleh diterima selagi ia dibelanjakan dengan bijak dan dapat menghasilkan pulangan positif melalui kesan pengganda.
"Namun, kelemahannya adalah kerajaan perlu melunaskan faedah kewangan tambahan dengan dana yang dipinjam. Soalannya ialah, apakah rancangan pelaburan atau perbelanjaan untuk dana tambahan berkenaan? Adakah negara dapat menjana pulangan positif daripada meminjam lebih banyak.
"Sekiranya penggubal dasar merancang menggunakan dana tambahan untuk menghasilkan pendapatan tambahan dan peluang pekerjaan baharu untuk negara, maka langkah itu harus dialu-alukan. Jika tidak, penggubal dasar harus kembali semula mencari strategi dan penyelesaian baharu," demikian menurut pendapat beliau.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyatakan sokongan fiskal yang diperlu akan disediakan untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan perniagaan, memperkuat sistem penjagaan kesihatan sambil meminimumkan kesan kepada ekonomi secara meluas.
Beliau dilaporkan berkata, sebaik sahaja krisis ini mereda, kerajaan akan kembali meneruskan langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.
"Ini akan menyeimbangkan keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang," jelasnya. - Bernama