Tok Mat pesan jangan bertindak melulu

Iklan
Mohamad

KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata susulan keputusan MCA dan MIC yang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN.

Katanya, ini kerana hubungan dan kerjasama semua parti komponen yang membentuk BN tidak terbentuk sehari dua dan pelbagai rintangan serta cabaran diharungi bersama sejak sebelum kemerdekaan.

Iklan
Iklan

"Malah, sudah terlalu banyak kejayaan dikecapi hasil persefahaman serta permuafakatan penuh rasa hormat ini. Saya berani katakan bahawa ahli-ahli dan pemimpin parti-parti komponen sudah mengenali hati budi masing-masing.

"Oleh yang demikian, adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata. Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: MIC, MCA pertimbang teroka pakatan baharu

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kerjasama, persefahaman dan persaudaraan yang sudah lama terjalin ini menjangkaui kenyataan dan ulasan segelintir kecil pemimpin tertentu.

Iklan

"Adalah sangat merugikan jika kita semua memilih menjadi tidak adil melihat kelemahan kecil ini sebagai alasan menafikan kelebihan besar yang telah dibangunkan secara telus selama ini," katanya.

Menurut beliau, adalah tidak tepat jika kedudukan setiap parti komponen dalam BN sudah tidak dianggap penting dan mustahak.

"Saya percaya BN sentiasa memberikan perhatian dan komitmen dalam menghormati dan mengiktiraf peranan serta perjuangan setiap parti-parti komponennya.

"BN juga sentiasa berusaha untuk bersama-sama mengukuhkan setiap parti komponen di bawah BN," katanya.

Dalam pada itu, katanya, satu mesyuarat Jawatan Kuasa Tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.

"Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama duduk berbincang bagi memeta jalan hadapan yang lebih baik kepada BN dan Malaysia," katanya.