Korea Utara kecam kerjasama kapal selam AS-Australia

Iklan
Korea Utara pada Isnin mengecam keputusan AS membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

SEOUL - Korea Utara pada Isnin mengecam keputusan Amerika Syarikat (AS) membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, menyifatkannya satu tindakan 'sangat tidak diingini dan berbahaya' serta memangkin perlumbaan senjata nuklear, lapor Yonhap.

Korea Utara juga akan mengambil 'tindakan sewajarnya jika kerjasama itu sedikit sebanyak memberi kesan buruk terhadap keamanan negara, menurut ketua bahagian berita antarabangsa, Kementerian Luar lapor Agensi Berita Korea Utara (KCNA).

Iklan
Iklan

AS pada Rabu mengumumkan kerjasama tiga hala melibatkan Australia dan Britain, serta membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear sebagai suatu 'senjata konvensional'.

"Kerjasama itu disifatkan satu tindakan sangat tidak diingini dan berbahaya serta mengganggu keseimbangan strategik di rantau Asia Pasifik dan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear," katanya.

Iklan

Pyongyang kini sedang 'meneliti' keputusan AS, tambahnya.

Pegawai itu juga berkata, pentadbiran Presiden Joe Biden bersifat 'talam dua muka... mengikis norma antarabangsa serta mengancam keamanan dan kestabilan dunia.'

Iklan

Pada Rabu, Biden menegaskan perjanjian tersebut hanya melibatkan kapal selam berkuasa nuklear dan negara yang terlibat akan berunding mengenai pemerolehan teknologi itu dengan lebih lanjut dalam tempoh 18 bulan akan datang. - Bernama