MTEM gesa kerajaan tidak sahkan Perjanjian CPTPP

Iklan
Abdul Halim Husin

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan untuk tidak mengesahkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai solusi terhadap masalah ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, perjanjian itu lebih mementingkan industri eksport tanpa menghiraukan kesan ekonomi tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

"MTEM kekal konsisten dengan pandangan perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini dinamakan semula sebagai CPTPP selepas Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat keputusan keluar daripada TPPA.

"Perjanjian bebas dihargai dan diperlukan tetapi perlu adil, terhad pada barangan dan sebagainya. Perlu dilakukan antara dua negara supaya lebih sesuai dan mengurangkan kepentingan kebanyakan rakyat dan negara.

Iklan

"Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa bukan semua perniagaan akan menikmati faedah yang dicanangkan oleh mereka yang menyokong untuk menyegerakan pelaksanaan CPTPP,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, lambakan import barangan yang lebih murah akan merosakkan peluang PKS dan mikro untuk bangkit dan menjadikan negara sebagai pengguna semata- mata.

Iklan

Jelas beliau, perjanjian perdagangan yang dikatakan bebas tetapi hakikatnya tidak adil ini memberi kesan pada pengeluar, PKS, petani, pesakit dan pengguna.

"Kerajaan ingin meratifikasikan CPTPP yang ditandatangani pada 2019, berdasarkan TPPA yang dimuktamadkan pada 2015 iaitu 22 provisi ditangguh sementara sekali gus mengecilkan lagi ruang dan kemampuan kerajaan melaksanakan perubahan dasar yang berkaitan dan diperlukan.

"Bukankah ini akan menyukarkan lagi ruang kerajaan untuk melakukan intervensi untuk menyokong industri yang masih memerlukan perlindungan dan bantuan? Sebagaimana yang kita lihat, akibat pandemik Covid-19, kerajaan mesti melakukan intervensi dengan tindakan dan langkah-langkah yang memberi kesan pada ekonomi negara,” ujarnya.

Tambah beliau, MTEM bimbang kerana Perjanjian CPTPP ibarat menjual dan memperdagangkan negara sendiri kerana terpengaruh dengan janji tanpa bukti akan menguntungkan negara.

"Segala kebaikan CPTPP boleh dicapai dengan perjanjian perdagangan bebas di antara dua negara dan perlu terhad pada barangan sahaja. Tidak pernah dalam sejarah perjanjian perdagangan yang merangkumi terlampau banyak perkara yang didagangkan,” ujarnya.

Abdul Halim memberitahu, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan semua negara CPTPP kecuali Kanada, Mexico dan Peru dan pasaran eksport negara tidak signifikan iaitu kurang daripada satu peratus eksport ke negara berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan kiraan menggunakan metodologi World Bank, sekiranya CPTPP dilakukan, imbangan barangan didagang dijangka akan bertambah teruk sebanyak AS$2.4 bilion setahun.

"Akibat pandemik ini semua negara termasuk Amerika Syarikat sedang melindungi PKS dan mikro mereka. Di Malaysia juga sama. Jadi kenapa perlu kita percepatkan ratifikasi ini? Kajian telah menyatakan kebanyakan PKS tidak bersedia untuk mengambil kesempatan CPTPP ini.

"Kebanyakan PKS kita tidak ada skala yang diperlukan dan kekurangan sumber dan kewangan. Hari ini PKS kita lebih teruk akibat kesan pandemik,” katanya.

Selain itu, menerusi CPTPP, pelaburan asing yang diharapkan juga tidak akan berlaku kerana ia tidak membenarkan meletakkan syarat bagi mendapat pelaburan asing yang berkualiti.

Katanya, negara juga boleh disaman sekiranya mengenakan syarat terhadap perkara itu.

Tambah beliau, walaupun perolehan kerajaan diberi masa untuk kekal eksklusif pada bumiputera melalui CPTPP, ia mempunyai tempoh masa dan jumlah yang telah ditetapkan.