MDEC harap peningkatan jualan dalam talian

Iklan

KUALA LUMPUR - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Ekspo Go-eCommerce 2021, persidangan e-dagang maya untuk memacu adaptasi e-dagang dalam kalangan perniagaan tempatan dengan memanfaatkan inisiatif Go-eCommerce Belanjawan 2021.

MDEC berkata, ekspo itu yang bermula hari ini sehingga 23 September 2021 diharap menggalakkan penggunaan e-dagang sebagai saluran pendapatan kepada perniagaan tempatan dan membantu mereka mencapai khalayak yang lebih luas dan meningkatkan jualan.

Iklan
Iklan

MDEC bekerjasama dengan 23 rakan kongsi seperti Alacarte, DeliverEat, DHause, dropee, Eromman, EZAssist, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instantestore, JDMas, JOCOM, Kravve, Kumoten, Lazada, Mpay, PGMall, Senangpay, Shopee, SHOPLINE, Sitegiant dan Subplace untuk memastikan capaian khalayak yang lebih luas dan meningkatkan penglibatan perniagaan tempatan.

"Pandemik ini telah menunjukkan bahawa adaptasi digital ini merupakan satu keperluan untuk berjaya dalam perniagaan kita. MDEC menerusi inisiatif #SayaDigital akan terus menyokong penuh perniagaan tempatan untuk memanfaatkan Belanjawan 2021 dan program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),” menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz dalam kenyataan.

Iklan

Menurutnya, pihaknya yakin bahawa e-dagang akan mencipta lebih banyak peluang dan aliran pendapatan dengan memajukan ekonomi digital secara inklusif selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menurut MyDIGITAL, ekonomi digital dijangka menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, menyasarkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi e-dagang.

Iklan

MDEC berkata, ekspo ini akan menampilkan tetamu industri berpengalaman yang akan berkongsi pengalaman dan tip untuk berjaya mencipta kesedaran jenama dan saluran jualan untuk memacu jualan serta menggunakan media sosial untuk meningkatkan e-dagang.

Pada tahun lepas, Ekspo Go-eCommerce berjaya menarik 3,000 pendaftaran dan lebih 30,000 penonton menerusi 12 webinar dan penampilan 23 tetamu jemputan.

Maklumat lanjut mengenai ekspo berkenaan boleh dilayari di www.mdec.my/go-ecommerce_expo. - Bernama