HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM3.67 juta kepada peniaga dan orang awam di seluruh negara atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, kompaun itu melibatkan 764 kes pelbagai kesalahan di premis perniagaan bermula 1 Jun lalu di bawah pelaksanaan PKP dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Sepanjang tempoh itu, KPDNHEP telah melakukan 228,223 pemeriksaan di premis perniagaan di bawah penguatkuasaan pemantauan SOP PKP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Antara kesalahan direkodkan adalah gagal daftar masuk menggunakan buku dan aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan, gagal menyediakan penanda jarak satu meter dan tidak memakai pelitup muka," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Menurut Rosol, KPDNHEP juga telah menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau operasi sektor perniagaan dan peruncitan di seluruh negara sejak 16 Ogos lalu melalui Ops Samar.
Katanya, ia termasuk pemantauan bagi pematuhan SOP untuk kebenaran aktiviti 'dine-in' di restoran dan kedai makan seluruh negara, yang ketika ini hanya membenarkan pelanggan lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk makan di premis terbabit.
"Kami terima aduan daripada pengguna ada premis perniagaan yang tidak sediakan kemudahan daftar masuk MySejahtera dan keadaan ini menggusarkan pelanggan.
"Kesan ketidakpatuhan terhadap SOP ini boleh menyusahkan orang ramai. Jadi menerusi Ops Samar kita akan pastikan peniaga dan orang awam patuh pada SOP dan sekiranya gagal, tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka," katanya.