Peragut dilanggar kereta suami mangsa

Iklan
Motosikal yang digunakan suspek semasa meragut seorang wanita berusia 29 tahun di Kampung Binjai, Kota Bharu pada pagi Isnin. - Foto media sosial

KOTA BHARU - Tindakan seorang penunggang motosikal meragut beg tangan wanita yang baru turun dari bas ekspres mengundang padah apabila dilanggar oleh kereta dipandu suami mangsa di tepi jalan di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai di sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa yang merupakan pembantu perubatan berusia 29 tahun baru tiba dari Negeri Sembilan dan turun menunggu suaminya di tepi jalan.

Iklan
Iklan

"Tiba-tiba datang seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan mangsa.

"Suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian melihatnya dan bertindak melanggar motosikal suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian para Isnin.

Iklan

Ujar beliau, suspek bagaimanapun cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam lain yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Iklan

"Dia kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Suspek yang cedera berjaya ditangkap selspas meragut beg tangan mangsa wanita di tepi jalan Kampung Binjai, Kota Bharu. - Foto media Sosial

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas beg pinggang milik suspek menjumpai peket lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah.

"Mangsa tidak cedera namun suaminya luka pada bahagian telinga kiri akibat pergelutan itu.

"Suspek pula luka pada tangan dan lutut serta dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk rawatan,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan berani suami mangsa sehingga penjenayah dapat ditangkap dan pihak polis amat menghargainya.

"Suspek yang bekerja sebagai mekanik didapati mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Saya menasihatkan orang ramai yang menaiki bas ekspres tidak turun di tempat sunyi dan berseorangan agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini kerana penjenayah hanya menunggu peluang serta ruang untuk melakukan jenayah,” katanya.