'Tak sabar untuk kembali ke sekolah'

Iklan
PPV Dewan Sri Tunjong, Kota Bharu dipenuhi pelajar sekolah untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin pada Isnin.

KOTA BHARU -"Tidak sabar untuk kembali ke sekolah," Itu antara luahan rata-rata pelajar ketika ditemui Sinar Harian pada hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Tunjong, di sini pada Isnin.

Syaza Amani Yusini,17, yang berasal dari Tanah Merah berkata, dia sanggup datang ke Kota Bharu semata-mata untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, tiba juga giliran saya untuk terima suntikan vaksin Covid-19 selepas sekian lama menunggu untuk mendapatkannya.

"Hari ini saya ditemani oleh ibu, untuk dapatkan dos pertama sekali gus 'menghidupkan' semula impian saya untuk kembali ke sekolah seterusnya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, dia sentiasa menantikan pengumuman kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada golongan pelajar menerima suntikan vaksin.

Syaza Amani yang berasal dari Tanah Merah sanggup datang ke Kota Bharu semata-mata untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dalam usaha memutuskan jangkitan pandemik itu.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah (SM) Imtias Yayasan Terengganu, Besut itu berkata, suntikan itu merupakan salah satu ikhtiar untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 selain terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta berdoa pada ALLAH SWT.

Iklan

Sementara itu, pasangan adik beradik, Luqman Hakim Mohd Daud, 16 dan Nuramelia ketika ditemui berkata, mereka teruja menjadi remaja terawal mendapatkan suntikan vaksin kerana terlalu ingin kembali ke sekolah.

"Bukan itu sahaja kami ingin mendapatkan keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka yang telah divaksin.

"Kami juga terkesan apabila melihat kakak sulung yang merupakan petugas barisan hadapan mendapat jangkitan Covid-19 ketika bertugas," katanya.

Luqman berkata, disebabkan kakaknya itu sudah divaksin dia hanya dijangkiti tahap satu sahaja.

Pasangan adik beradik, Luqman Hakim dan Nuramelia teruja menjadi remaja terawal mendapatkan suntikan vaksin kerana terlalu ingin kembali ke sekolah.

Menurutnya, vaksin merupakan salah satu usaha untuk mereka menentang Covid-19 dan kembali jalani kehidupan normal seperti dulu.

Bagi Wan Muhammad Harith Wan Rosli, 16 pula berkata, dia tidak lena tidur memikirkan akan divaksin kerana terlalu teruja.

Katanya, seawal pagi lagi dia sudah hadir ke PPV ditemani kakaknya untuk mendapatkan dos pertama.

"Tidak sakit pun, malah saya rasa lebih selamat selepas divaskin," katanya.

Wan Muhammad tidak lena tidur memikirkan akan divaksin kerana terlalu teruja.