KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menambah baik aplikasi MySejahtera khususnya membabitkan peringatan fungsi daftar keluar aplikasi tersebut.
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH- Lembah Pantai) berkata, ketiadaan peringatan itu menjadikan pengguna kerap lupa untuk mendaftar keluar selepas memasuki premis.
"Contohnya hari ini (Isnin) ramai dalam kalangan kita yang masuk ke dalam dewan ini, yang 'log in' tetapi tak 'log out', kita tak diberikan peringatan malah ada yang seakan-akan tidur semalam di Parlimen sebab tak 'check out' di Parlimen.
"Jadi, apakah sebenarnya yang boleh kita lakukan tak payah fikir pasal super apps, tetapi kita baiki lah aplikasi yang ada sekarang ini," katanya dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Fahmi turut meminta penjelasan kementerian itu berhubung gangguan teknikal krtika pendaftaran vaksin AstraZeneca Mei lalu.
"Saya pohon Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) berikan jawapan dalam masa terdekat pada 23 September ini, tolong beri penjelasan.
"Berapakah duit rakyat yang telah dibelanjakan untuk membangunkan laman web tersebut?," soalnya.
Khairy Jamaluddin dalam laporan sebelum ini memaklumkan aplikasi MySejahtera telah dikemas kini dengan penambahan kemudahan paparan status vaksinasi dan risiko seseorang.
Paparan baharu itu antaranya akan menunjukkan sama ada seseorang itu sudah divaksinasi sepenuhnya atau tidak setiap kali mengimbas kod QR daftar masuk.
Selain itu, satu butang 'daftar keluar' turut ditambah ke dalam aplikasi MySejahtera bagi menambah baik usaha menjejaki kontak rapat.