Isu berkaitan SPRM tumpuan perbahasan pembangkang

Iklan
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika sesi soal lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Bernama

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara yang menjadi tumpuan perbahasan blok pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

Antara Ahli Parlimen yang membangkitkan perkara itu ialah Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena).

Iklan
Iklan

Gobind yang mempersoalkan kewajaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM menyelesaikan isu melibatkan anggotanya secara dalaman, berkata kes-kes berkaitan perlukan siasatan penuh dan terbuka.

Menyentuh isu penahanan tiga pegawai kanan SPRM bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu, Gobind berkata SPRM harus memberikan butiran kes supaya rakyat tidak terus membuat spekulasi dan ia perlu disiasat oleh badan bebas.

Iklan

"Mengapa SPRM (yang) buat tahanan dan siasat. Kenapa ia berlaku?” soalnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di sini pada Isnin.

Perkara itu disokong Mahfuz yang menyatakan kerajaan perlu menunjukkan iltizam dalam memerangi rasuah.

Iklan

Senada dalam isu itu, Hassan mencadangkan suruhanjaya itu diletakkan di bawah Parlimen manakala Ahmad Fahmi berpendapat badan itu perlu bebas dan menjawab kepada Parlimen.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ini bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 September lepas yang menekankan keperluan membanteras rasuah untuk membina negara bebas rasuah dan berintegriti.

"SPRM tidak sepatutnya berada di bawah kawalan seorang Perdana Menteri, cadangan saya ini tentu sahaja perlu dibincangkan dan diperhalusi semua aspek... dari segi perundangan, pentadbiran serta kewangan bagi melaksanakannya.

"Saya mencadangkan SPRM lebih berkuku dan bertaring maksudnya lebih efektif dalam soal kuasa pendakwaan di mahkamah (berbanding) selama ini SPRM hanya berperanan sebagai badan penyiasatan sahaja, tiada ada kuasa mendakwa di mahkamah,” katanya.

Pada 3 September lepas, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Dr Rais Yatim memaklumkan cadangan meletakkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen sedang diteliti.

Turut disentuh dalam perbahasan adalah cadangan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika membahaskan usul sama pada Rabu mengenai pemisahan fungsi antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Gobind yang menyokong cadangan itu, berkata perkara yang sama perlu dilihat kepada jawatan Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Jika mereka ini di bawah jagaan kementerian-kementerian tertentu adakah kita boleh yakin bahawa apa yang berlaku dalam PDRM atau SPRM ini adalah tindakan yang telus?” katanya.

Hassan pula berkata, kuasa mendakwa terletak pada Pendakwa Raya iaitu individu yang sama memegang jawatan Peguam Negara, antaranya bertanggungjawab menjadi penasihat kepada kerajaan dan Perdana Menteri sekali gus ini bakal menyebabkan konflik kepentingan.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) turut mencadangkan pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan menurutnya perkara itu perlu disemak semula.

"Sepatutnya ia terhad kepada menjadi pendakwa raya sahaja dan tidak menjatuhkan hukum dengan berkata tidak ada kes untuk didakwa kepada si polan-polan," katanya. - Bernama