HAMPIR 10 tahun tidak menjulang piala, Negeri Sembilan FC berpeluang mengecapi nikmat berkenaan pada perlawanan terakhir saingan Liga Premier menentang PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa.
Kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak berharap skuad Hobin Jang Hobin dapat memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri sekali gus melakar sejarah merangkul piala setelah kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada 2011.
"Saya dan rakan sepasukan perlu melakukan sejarah...saya yakin semua pemain sedar bukan mudah untuk mempamerkan aksi konsisten hingga membawa pasukan berada di tahap sekarang.
"Pemain beri komitmen dan kesungguhan seratus peratus pada perlawanan esok. Pasukan PDRM FC juga mahu menang untuk layak ke Piala Malaysia...sudah tentu perlawanan esok menjadi sengit," katanya kepada pada Isnin.
Katanya, PDRM FC yang menduduki tangga kelima Liga Premier mempunyai misi tersendiri untuk mengutip mata penuh bagi merebut slot ke saingan Piala Malaysia.
Mengenai tahap kecergasan pasukan, Mohamad Zaquan berkata, prestasi kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan mampu mempamerkan aksi cemerlang walaupun pasukan turun tanpa Francis Kone yang digantung perlawanan namun ia tidak menjejaskan kekuatan pasukan.
Negeri Sembilan mengungguli takhta Liga Premier dengan 38 mata, diikuti Sarawak United 37 mata.
Penentuan juara Liga Premier juga bakal menyaksikan perlawanan antara Sarawak United menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin pada Selasa. - Bernama