BACHOK - Kunjungan pelancong domestik dalam tempoh 12 hari selepas sektor itu dibenarkan menerusi Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mula menjadikan lokasi tumpuan di sekitar Kelantan kembali bertaburan dengan sampah.
Keadaan itu berpunca daripada sikap alpa dan kurang endah rakyat yang meninggalkan sampah selepas beriadah terutamanya di pesisiran pantai.
Perkara itu disuarakan sendiri oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin yang melihat sampah seperti bekas makanan, tisu malah pelitup muka bertaburan di kawasan pelancongan Pantai Irama Bachok ketika lawatan kerja pada Isnin.
"Saya sudah tengok apabila kita buka tempat-tempat rekreasi, nampaknya masyarakat kita kurang cakna kepada kebersihan.
"Mereka pergi tempat-tempat menarik, tiba-tiba balik tinggalkan sampah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Lawatan Kerja ke Projek Menaik Taraf Pantai Irama Bachok di sini pada petang Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Huzaimy Che Husin.
Dr Izani berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu sesuatu yang amat sukar untuk diterima beliau kerana sepatutnya sebagai manusia berakal tidak seharusnya membuang sampah di merata tempat.
"Kita boleh bawa semua bekalan untuk beriadah, sepatutnya kita boleh bawa balik sampah-sampah dan letakkan ke dalam tong yang sudah disediakan,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan sudah menyediakan tong sampah di kawasan berhampiran, namun sampah masih dibiarkan bertaburan hingga ada yang diterbangkan angin.
"Berbeza semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya perlu bersihkan daun-daun kayu berbanding kini mengutip sampah yang ditinggalkan pengunjung.
"Saya amat berharap rakyat menjaga kebersihan tempat awam supaya lokasi itu terus mendatangkan keceriaan, kesihatan serta keselamatan kepada semua pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri itu kini rancak menjalankan kerja-kerja pembangunan dan menaik taraf tempat-tempat rekreasi antaranya di daerah Bachok serta Pasir Puteh menerusi peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Di Pasir Puteh, satu taman rekreasi awam seluas 10 hektar bernilai RM 6.5 juta dalam pembinaan di Bukit Gedombak dengan dilengkapi gelanggang futsal, kolam renang, dewan aktiviti, trek joging dan berbasikal.
"Kerajaan juga sedang menambah baik dan mencantikkan Jeram Pasu, Pasir Puteh serta Pantai Irama dan Pantai Melawi di Bachok menerusi peruntukan RM500,000 bagi setiap lokasi yang akan dibuka kepada umum tidak lama lagi,” katanya.