SHAH ALAM - Pelbagai tindakan dilakukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk keluar melalui tingkap bagi mengelak ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Selangor (Imigresen) di sekitar Seri Kembangan dan Cheras pada Isnin.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai sembilan PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan lebih empat jam bermula pada jam 12.30 tengah hari.
Menurut beliau, operasi kali ini tertumpu di premis perniagaan, kedai makan, kedai pakaian, kedai dobi dan pasar raya besar.
"Sembilan daripada 27 warga asing yang diperiksa ditahan kerana atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun yang terdiri daripada empat wanita Indonesia, tiga lelaki Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Pakistan dan Bangladesh.
"Kesemua warga asing tersebut direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/53 di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut," katanya.
Mohamad Shukri memberitahu, siasatan turut dijalankan terhadap individu yang menyewakan premis mereka dan melindungi warga asing terbabit.
"Sekiranya terbukti bersalah pemilik premis dan individu yang melindungi PATI akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah," katanya.