PENGENDALI Barcelona, Ronald Koeman mempertahankan corak permainannya apabila Blaugrana sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika menentang Granada dalam aksi La Liga di Stadium Camp Nou.
Malah menurut Koeman, perubahan taktikal tersebut merupakan pilihan terbaik tuan rumah bagi memastikan tuan rumah mampu menyaingi Nazaríes kendalian Robert Moreno tersebut.
"Ya, saya akui kami menukar sedikit corak permainan Barcelona yakni dengan terbuka di bahagian tepi dan bukan tengah.
"Saya gunakan Pique, De Jong dan Araujo, dan semuanya berhasil apabila salah satu daripada hantaran lintang mereka menghasilkan keputusan seri,” ujar Koeman yang kebelakangan ini mula menerima kritikan selepas Barca tewas 3-0 di laman sendiri kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara.
Penyokong-penyokong Barca sebelum itu mendakwa kelab yang kini menduduki tangga ketujuh La Liga dengan mengumpul lapan mata selepas mengharungi empat perlawanan mengkhianati tradisi serangan Barcelona.
Malah kata Koeman lagi, beliau menggunakan sepenuh barisan pemain yang dimiliki Barca sesuai dengan situasi terkini kelab tersebut bagi menghasilkan keputusan terbaik.
"Apa yang anda akan lakukan sekiranya melihat senarai para pemain dimiliki Barcelona pada ketika ini? Bermain tiki-taka? Tiki-taka apabila tiada ruang?
"Sejujurnya, saya akan melakukan yang terbaik dalam walaupun berdepan dengan pelbagai kekurangan pada ketika ini dengan satu matlamat iaitu melakar kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, Koeman memasukkan Gerard Pique minit ke-75 menggantikan Yusuf Demir bagi digandingkan dengan Luuk de Jong, manakala pemain pertahanan Ronald Araujo, diletakkan di bahagian serangan dalam usaha tuan rumah mencari gol penyamaan.
Taktikal itu membuahkan hasil apabila Araujo akhirnya berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-90 sekaligus memadam pendahuluan Domingos Duarte pada minit kedua babak pertama.