SHAH ALAM - Sebanyak 72.86 peratus daripada 339 premis yang membekal dan menjual ayam di Selangor bersetuju untuk menjual pada harga lebih rendah atau pada RM9.50 sekilogram (kg).
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pemeriksaan harian dijalankan di seluruh negeri tersebut memfokuskan kepada peniaga ayam di pasar awam dan basah dalam tempoh tujuh hari iaitu sejak 13 hingga 19 September lalu.
Menurutnya, pemantauan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan melalui perundangan anti-pencatutan.
Mohd Zawawi berkata, premis-premis yang diperiksa terdiri daripada pembekal dan peruncit susulan situasi kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran baru-baru ini.
"Daripada 339 premis yang diperiksa, sebanyak 86 iaitu 25.36 peratus premis bersetuju membuat perubahan harga jual dengan menurunkan harga secara serta-merta kepada RM9.50.
"Selebihnya, sebanyak enam premis lain mewakili 1.76 peratus bersetuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah,” katanya setelah mengadakan lawatan di Pasar Moden Seksyen 6, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, hasil pemeriksaan harga ayam yang dijalankan menunjukkan penurunan dan kestabilan harga runcit, iaitu harga purata jualan runcit ayam mula dijual di antara RM8.50 sehingga RM9.50.
Ujarnya, penurunan harga tersebut adalah hasil semakan semula dan perubahan harga yang dibuat oleh pihak peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh Penguatkuasa KPDNHEP Selangor.
"Secara keseluruhannya, kedudukan harga ayam di pasar-pasar awam utama dan premis runcit di Selangor menunjukkan prestasi baik dengan kerjasama daripada peniaga yang patuh untuk menurunkan harga jual.
"Antara pasar awam yang mula menurunkan harga jualan ayam kepada RM9.50 adalah seperti Pasar Awam Pekan Subang; Pasar Awam Kajang; Pasar Selayang Baru di Gombak; Pasar Awam Bukit Sentosa di Kuala Kubu Bharu; Pasar Awam Sungai Pelek di Sepang dan Pasar Awam Sungai Besar di Kuala Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zawawi berkata, KPDNHEP Selangor mengambil pendekatan menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam memberikan hasil yang positif apabila peniaga bersetuju memberikan kerjasama menurunkan harga masing-masing dan mengekalkan keuntungan yang munasabah.
Katanya, tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 juga dikeluarkan sebanyak dua notis kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci.
"Kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil.
"Pengguna digalakkan terus membuat pembelian secara bijak dengan sentiasa membuat semakan dan perbandingan harga berdasarkan lokasi semasa pengguna dalam radius 10 kilometer menggunakan Aplikasi Price Catcher,” katanya.
Pengguna di Selangor yang mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan boleh dibuat melalui saluran rasmi yang disediakan iaitu di portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre 1800 886 800; e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088; atau menerusi aplikasi Whatsapp ke 019-279 4317.