ASTANA - KAZAKHSTAN . Ketika Gulzira Auelkhan sedang gigih menjahit sarung tangan di sebuah kilang di wilayah Xinjiang, pengurusnya tanpa berselindung memberitahu di mana produk itu akan dijual.
"Mereka memberitahu kami secara terbuka bahawa sarung tangan itu akan dijual ke luar negara. Jadi, kami perlu buat kerja dengan baik," katanya.
Auelkhan, 39, rakyat China berketurunan Kazakh mendakwa dia pernah menjadi sebahagian daripada rangkaian minoriti Islam di Xinjiang yang dimasukkan ke 'pusat latihan vokasional' kemudian ke kilang di mana mereka dipaksa bekerja dan ditawarkan bayaran jauh lebih rendah daripada gaji minimum.
Beijing mendakwa pusat pendidikan semula itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memerangi keganasan dan kumpulan pemisah di Xinjiang, wilayah yang didiami majoriti etnik minoriti Islam.
Ia turut menafikan penggunaan buruh paksa seperti didakwa kebanyakan mangsa.
Tetapi, kumpulan hak asasi manusia dan bekas pekerja seperti Auelkhan mendakwa amalan ke atas kumpulan minoriti itu digunakan secara meluas dan sebuah syarikat asing turut menarik diri atas kebimbangan itu.
Menurut Auelkhan, dia dipindahkan ke kilang sarung tangan di estet perindustrian Jiafang di daerah Yining itu selepas menghabiskan masa selama 15 bulan di dua pusat pendidikan berbeza di kemudahan terbabit.
PBB mendakwa lebih sejuta penduduk minoriti Islam sebahagian besar etnik Uighur, Kazakh, Kyrgyz dan Hui ditahan di pusat pengasingan di seluruh Xinjiang.
Auelkhan yang mempunyai hak menetap di Kazakhstan telah ditahan di 'pusat pendidikan semula' itu ketika dia berkunjung ke China untuk melawat keluarganya.
Jelasnya, kehidupan di dalam kem itu sangat kejam kerana ada yang dipukul dengan baton elektrik pada kepala hanya kerana menggunakan bilik air lebih dua minit.
Dibayar gaji sangat rendah
"Setiap hari kami dibawa ke dan dari asrama yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kilang itu. Ketika kami 'belajar' di kem tersebut, mereka memberitahu kami akan diajar tentang perdagangan selama tiga bulan," katanya.
Wanita itu berkata, dia hanya dibayar 320 yuan (RM194) untuk gaji bekerja selama hampir dua bulan sebelum tempoh tersebut dikurangkan pada Disember dan dibenarkan kembali ke pangkuan keluarganya di Kazakhstan.
Purata gaji minimum di Xinjiang adalah antara 820 yuan (RM500) dan 1,460 yuan (RM888) sebulan.
Tetapi, Beijing dan pegawai di wilayah itu menafikan sekeras-kerasnya kaitan antara kem itu dan buruh dibayar gaji rendah.
Wakil pejabat media kerajaan wilayah autonomi Xinjiang menerusi emel memaklumkan tiada kontrak buruh antara Pusat Pendidikan dan Latihan Perusahaan dan tiada yang mendapatkan buruh dari pusat latihan terbabit.
Namun, kumpulan hak asasi manusia menegaskan kedua-duanya ada kaitan malah beberapa syarikat asing mula sedar dengan perkara itu.
Bulan lalu, syarikat berpusat di North Carolina, Badger Sportswear mengumumkan ia akan menghentikan pengambilan sumber pakaian daripada pembekal Hetian Taida selepas mengetahui tentang penggunaan buruh paksa tersebut.
Auelkhan percaya dia dibebaskan daripada 'cengkaman buruh paksa' itu kerana kempen awam dilancarkan suaminya dan kumpulan hak asasi manusia di Almaty.
Ketika lawatan ke kumpulan hak asasi manusia Ata Jurt di Almaty, wakil AFP turut bertemu dengan beberapa penduduk Kazakh yang mendedahkan saudara mara mereka yang ditempatkan di kem pendidikan semula juga berdepan bentuk pengasingan lain.
Salah seorang daripada mereka adalah Aibota Janibek, 34, yang mendakwa kakaknya, Kunikei Janibek menghubunginya dari Xinjiang pada bulan lalu selepas beberapa bulan hilang tanpa khabar berita.
"Dia mengesahkan telah 'diberi kerja' di sebuah kilang permaidani di daerah Shawan. Saya dapat tahu dia telah dipindahkan dari kilang permaidani ke perusahaan lain yang menghasilkan tuala kertas untuk pesawat," ujarnya. - AFP