KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan orang ramai kini sudah menganggap bahawa Dewan Rakyat telah dicemari dengan amalan korupsi politik.
Menurut beliau, masyarakat merasakan bahawa institusi tersebut kini sudah dipengaruhi dan dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu dan tidak lagi dijadikan sebagai tempat untuk mendengar masalah dihadapi mereka khususnya ketika pandemik Covid-19.
"Mereka juga merasakan ia adalah cara untuk memperkayakan beberapa orang sahaja, sementara orang ramai keciciran. Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik.
"Perkara ini tidak mudah ditakrifkan kerana ia berlaku dalam pelbagai bentuk. Bukti berlakunya korupsi politik ini adakalanya kelihatan dan adakalanya tertutup. Seorang hakim ternama menyifatkan korupsi politik seperti ‘worm in the body’ yang boleh merosakkan demokrasi kita.
"Oleh itu, kita harus mencari jalan untuk menghapuskan ‘ulat-ulat’ yang mengerumuni Dewan Rakyat,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Tengku Razaleigh berkata, usaha bagi menangani perkara itu perlu dilakukan kerana ia akan membantu negara bagi menentukan amalan dan dasar yang baik untuk ekonomi, kesihatan serta pendidikan.
"Sekiranya politik ini terjebak dalam jaringan korupsi, segala kenyataan mulut-mulut di Dewan Rakyat tiada gunanya kepada rakyat.
"Aktiviti politik kita dengan parti-partinya hendaklah bergerak dengan betul kerana inilah asas kewujudan negara kita,” ujar beliau.