MGB tandatangani dua kontrak

Iklan
Hock San
SHAH ALAM - Anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS), MGB Berhad yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan hartanah menandatangani dua kontrak bagi kerja-kerja pembinaan dan pembangunan tanah.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, melalui anak syarikat penuh milik MGB, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd (MGBCE) telah menandatangani perjanjian pembinaan siap bina secara keseluruhan dengan Retro Court Sdn Bhd.

Menurutnya, ia bertujuan untuk membangunkan tanah industri seluas kira-kira 1,000 ekar yang terletak di Lot Q, Taman Biopolimer Kertih, Kertih, Terengganu (Projek Kertih).

"Projek Kertih ini merupakan sebahagian daripada Taman Biopolimer Kertih yang akan menjadi kompleks kilang bio generasi kedua terbesar di Asia.

"Nilai pembangunan kasar (GDV) projek Kertih adalah sekitar RM680 juta. Selaku kontraktor keseluruhan, MGBCE bertanggungjawab menguruskan kesemuanya yang merangkumi reka bentuk, pembiayaan, pembinaan dan penyelesaian, penjualan serta pemasaran di samping pengurusan kredit Projek Kertih,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Hock San berkata, MGB melalui anak syarikatnya, Multi Court Developers Sdn Bhd (MCDSB) telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih peranan Angsana Abadi Sdn Bhd (AA) iaitu anak syarikat LBS bagi membangunkan projek Zenit Molek bersama dengan Advance Profits Sdn Bhd.

MGB
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Projek Zenit Molek ini akan dibina di atas sebidang tanah pegangan bebas seluas 2.6 ekar yang terletak di Molek, Johor.

"Pembangunan ini terdiri daripada pembinaan sebanyak 988 unit kediaman yang dibahagikan antara dua blok dengan harga jualan bermula daripada RM313,000. GDV keseluruhan pembangunan adalah sekitar RM366 juta dan penjualan hartanah dijangka akan bermula pada suku kedua pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman yang luas serta pengetahuan teknikal MGB dalam bidang pembinaan dan pengurusan pembangunan, beliau yakin dapat melaksanakan projek itu dalam masa yang ditentukan.

"Kami bangga kerana turut diberikan peranan untuk memajukan sektor bioteknologi Malaysia melalui penyediaan kepakaran pembinaan kami dalam memajukan tanah industri di Taman Biopolimer Kertih,” katanya.

Hock San berkata, bagi projek pembangunan Zenit Molek, MGB akan terus membangunkan sebidang tanah di lokasi utama dan mengekalkan harga agar ia mampu dimiliki oleh masyarakat di Johor Bahru.

"Dengan penambahan projek-projek ini, kami menjangkakan peningkatan jumlah tempahan bagi pembinaan dan projek pembangunan hartanah amat menggalakkan di samping mengukuhkan pendapatan syarikat untuk tahun-tahun kewangan akan datang,” katanya.