Sisa runtuhan jambatan simpan bukti sejarah

Iklan
Para pengunjung dapat melihat sendiri kesan sejarah menerusi pacakan beberapa tiang konkrit yang bermula dari pesisir pantai hingga ke tengah laut.
 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sekilas pandang, mungkin generasi masa kini tidak begitu mengendahkan kelibat runtuhan jambatan di suatu kawasan berhampiran pantai di Kampung Jubakar dalam Jajahan Tumpat di Kelantan.

Hakikatnya sisa runtuhan jambatan atau dikenali Jambatan Bijih Jubakar Pantai yang dibina pihak British sejak zaman sebelum perang itu merupakan satu tinggalan sejarah yang menyimpan seribu satu cerita.

Iklan
Iklan

Jambatan ini antara elemen penting yang menjadi penghubung kepada eksport perdagangan bijih besi dari Bukit Besi, Temangan, Kelantan ke Jepun pada zaman dahulu.

Menurut laman web Majlis Daerah Tumpat, tujuan utama pembinaannya ketika itu adalah bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi yang diusahakan sebuah syarikat Jepun iaitu Oriental Mining Co dari darat ke kapal pengangkut.

Iklan

"Dibawa menggunakan kereta api dari Bukit besi ke Pelabuhan Tumpat, bijih besi kemudiannya akan dimasukkan ke dalam satu bekas khas dan diangkut ke kapal melalui jeti yang dibina.

"Dari kapal kecil itu, bijih besi tersebut akan dibawa ke kapal induk untuk dieksport ke negara Jepun,” menurut laman web mdtumpat.kelantan.gov.my.

Iklan

Laman web berkenaan menjelaskan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga 1945, pengeluaran bijih besi terus dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun di suatu kawasan yang kini terletaknya Sekolah Kebangsaan Temangan.

Selepas Perang Dunia Kedua, pengeluaran bijih besi masih diteruskan dilakukan oleh syarikat yang sama tetapi di bawah pengawasan pemerintah British.

Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 sebelum operasinya dihentikan susulan bekalan bijih yang semakin berkurangan.

Kini yang tinggal hanyalah sisa binaan jambatan yang dimamah usia, namun tiang-tiangnya masih utuh sebagai saksi bisu sumbangan Kelantan terhadap revolusi industri dunia yang tersimpan dalam lipatan sejarah. - Bernama