Eksport minyak sawit Malaysia dijangka berkembang

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Eksport minyak dan lemak berasaskan minyak sawit Malaysia ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dijangka berkembang sehingga 75 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang daripada 64 peratus ketika ini di tengah-tengah pertumbuhan populasi dan peningkatan permintaan terhadap komoditi tersebut bagi industri makanan dan bukan makanan.

Pengarah Urusan Alami Commodities Sdn Bhd Ahmed Alami berkata, rantau MENA tidak menghasilkan biji minyak yang mencukupi berikutan lokasi geografi dan batasan lain dan biji minyak domestik serta yang diimport hanya berupaya menampung 36 peratus daripada jumlah keperluan rantau itu, justeru bakinya perlu dipenuhi menerusi import minyak sayuran.

Iklan
Iklan

"Arab Saudi yang terletak di tengah-tengah rantau yang memiliki kira-kira 700 juta pengguna itu mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi hab bekalan bagi minyak sawit Malaysia,” katanya dalam pembentangan beliau semasa siri webinar Majlis Minyak Sawit Malaysia bertajuk 'Minyak Sawit Malaysia di Pasaran Timur Tengah, Trend dan Potensi'.

Beliau berkata, kedua-dua Malaysia dan Indonesia menyumbang 90 peratus daripada eksport minyak sawit ke Arab Saudi manakala bakinya dari Mesir, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iklan

Import dari Oman dan UAE pada asalnya bersumberkan dari Malaysia dan Indonesia, dan kemudiannya dieksport semula dalam bentuk barangan siap ke wilayah timur Arab Saudi berikutan kelebihan logistik dan tarif Majlis Kerjasama Teluk.

Ahmed memberitahu, trend import minyak sawit Malaysia (oleh Arab Saudi) tidak konsisten berikutan kekerapan perubahan dalam dasar eksport Indonesia.

Iklan

Memetik contoh, beliau berkata, sekiranya Indonesia menaikkan cukai, ia akan menyebabkan minyak sawit Malaysia menjadi lebih kompetitif.

"Bagaimanapun, minyak sawit Malaysia menjadi pilihan berikutan kualiti dan kelestariannya,” katanya sambil menambah kelestarian adalah pemacu utama yang meningkatkan eksport minyak sawit negara.

Peluang lain bagi komoditi itu adalah peningkatan mendadak harga minyak bijian seperti minyak bunga matahari dan minyak jagung yang menjadikan harga minyak sawit lebih menarik.

Pembukaan semula ekonomi dan pelancongan di Arab Saudi terutamanya bagi tujuan mengerjakan Haji dan Umrah dijangka merangsangkan lagi pertumbuhan, katanya.

Malaysia baru sahaja membuka pejabat di Jeddah bagi tujuan promosi komoditi seperti minyak sawit, getah dan kayu.

Sementara itu, dalam pembentangan bertajuk"UAE – A Gateway to the Middle East Market”(UAE- Pintu Masuk Ke Pasaran Timur Tengah), seorang ahli panel lain Pengurus Besar MTE Global Trading LLC, Mohamad Raid AlMajzoub berkata minyak sawit Malaysia boleh mencatatkan prestasi yang lebih baik tahun ini di UAE.

"Import minyak sawit oleh UAE bagi tempoh antara Januari sehingga Julai tahun ini meningkat kepada 95,968 tan metrik daripada 49,073 tan metrik yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Terdapat peluang bagi pasaran eksport semula dengan Pelabuhan Jebel Ali menjadi pelabuhan bagi transit barangan,” katanya. - Bernama