PUTRAJAYA- Sebanyak 945 kompaun dengan nilai RM4.9 juta dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung kegagalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, jumlah itu bagi pelaksanaan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihaknya terhadap pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akta 342 sejak 13 Mei hingga Isnin.
"Antara kesalahan yang dikesan ialah peniaga gagal mempamerkan had kemasukan pelanggan, premis dan pelanggan tidak mendaftarkan masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, gagal memakai pelitup muka dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, tindakan kompaun serta-merta yang dikenakan adalah sebagai mesej kepada peniaga mengenai keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Ops Samar di seluruh negara.
"Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan dan pengedaran boleh dikatakan berada di tahap memuaskan iaitu 98.79 premis yang mematuhi SOP," katanya selepas mengadakan pemeriksaan Ops Samar di beberapa premis yang menjadi tumpuan di sekitar Putrajaya pada Selasa.
Azman berkata, KPDNHEP menggerakkan seramai 2,262 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.
"Kebiasaan pemeriksaan dilaksanakan anggota dengan memakai pakaian seragam, namun di bawah Ops Samar, mereka akan memakai pakaian preman termasuk penyamaran sebagai orang awam semasa menjalani pemeriksaan," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak agar mematuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak.
Menurutnya, SOP yang diperkenalkan kerajaan bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak, namun untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
"Menjadi peranan semua orang baik pengguna, peniaga dan semua agensi dengan memastikan kita semua mematuhi SOP.
"Kita bimbang jika ada yang tidak mematuhi SOP, langkah- langkah yang diambil kerajaan menemui kegagalan," katanya.