MPN akan permudahkan SOP

Iklan
Muhyiddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Majlis Pemulihan Negara akan mempermudahkan prosedur operasi standard (SOP) agar tidak menjadi halangan kepada usaha pemulihan negara selari dengan keadaan semasa yang lebih stabil.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara perkara yang perlu diteliti MPN ialah menentukan SOP baharu yang berlainan dengan sebelumnya.

Iklan
Iklan

"Situasi kini berbeza. Oleh itu, kita melonggarkan banyak SOP. Dulu makan di gerai tidak dibenarkan, sekarang boleh. Sektor pendidikan dan sekolah dibuka seperti biasa.

"Antara yang perlu diteliti MPN, kita kena menentukan SOP yang dahulu dipakai, tidak sama dengan sekarang. Kena permudahkan supaya tidak jadi halangan atau sekatan yang menyebabkan lambat pulih,” katanya ketika program Agenda Awani pada malam Selasa.

Iklan

Muhyiddin berkata, MPN perlu meneliti semula pembukaan sektor tertentu agar tiada kekangan dan kesulitan dihadapi oleh pemain industri tersebut.

"Contohnya pembukaan Langkawi, kalau naik kapal terbang tidak perlu kebenaran polis, kalau jalan raya, perlu. Saya rasa kalau menerusi kenderaan, dia boleh pergi tempat lain. Ini contoh untuk seragamkan,” jelas beliau.

Iklan

Selain itu, beliau mengharapkan agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab mengutamakan kebajikan rakyat dengan mengangkat kembali sektor ekonomi negara dan bukannya krisis politik yang berpanjangan.

"Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik. Saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah. Saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.

"Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. Ini apa yang kami telah buat dan saya rasa kita berjaya.

"Kita juga kena menumpukan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat. Saya rasa perkara ini kita akan pulih dalam satu tempoh tidak lama lagi. Semua pihak kena bersama dalam satu landasan. Buat keputusan sebaik mungkin,” kata beliau.