SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki harus bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) dikendalikan suruhanjaya itu.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, sebagai 'ketua nakhoda' yang memikul amanah, Azam sepatutnya mengambil tanggungjawab berhubung kehilangan yang melibatkan tiga pegawai kanan SPRM itu.
Menurutnya, daripada sudut moral, Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu secara direhatkan serta-merta kerana perkara melibatkan integriti tidak boleh dikompromi.
"Pendakwaan ini satu perkara yang sangat serius. Sekiranya ia benar-benar berlaku, perbuatan pegawai kanan SPRM terbabit melanggar peraturan kerja sebagai penjawat awam yang diamanahkan menjaga satu jumlah wang yang sangat besar.
"Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan beliau perlu direhatkan sepanjang siasatan kes ini dijalankan kerana sebagai ketua wajib tahu apa yang berlaku di bawah pengawasannya.
"Bukan Azam sahaja mesti direhatkan sementara waktu, malah pegawai atau seluruh anggota SPRM yang terlibat juga perlu dikenakan tindakan sama," katanya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, sekiranya Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak direhatkan daripada jawatan sedia ada, beliau bimbang kemungkinan ada maklumat yang tidak sampai kepada badan penyiasat.
Tegasnya, satu siasatan telus perlu dilakukan dan konsep semak dan imbang wajib dilaksanakan, sekali gus mengenal pasti bagaimana perkara itu boleh berlaku.
"Ada juga dakwaan bahawa duit yang dikembalikan kepada pihak terlibat juga adalah duit palsu. Bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku? Angkara siapa?," soalnya.