KUALA KANGSAR - Seorang lelaki warga Bangladesh maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 52, Jalan Ipoh -Taiping, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, Md Oasim Uddin, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Padang Rengas.
"Ketika melalui kawasan kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar batu penghadang jalan.
"Mangsa jatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya. Dia yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
"Sebab kematian belum diketahui kerana bedah siasat akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.
"Majikan mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.