MELAKA - Seorang penunggang motosikal maut apabila merempuh sebuah kereta yang cuba membuat pusingan U di Jalan Limbongan, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Nor Zalik Hassan, 37, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Iswara itu dipandu seorang wanita warga China dari arah jalan pesisir pantai melalui Lorong Hajah Maznah.
"Wanita itu cuba membuat pusingan U di hadapan kedai Kuih Keria Antarabangsa dan mendakwa motosikal mangsa secara tiba-tiba merempuh kenderaannya.
"Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.