Taliban mahu berucap di UNGA

Iklan
Amir Khan Muttaqi suarakan hasrat untuk berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-76 yang berlangsung di New York, AS pada minggu ini. - Foto Agensi

KABUL - Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi menyuarakan hasrat untuk berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-76 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, menurut jurucakap gerakan itu pada Selasa.

Duta pemerintah baharu Afghanistan itu juga membuat permohonan sama, namun agensi antarabangsa itu masih belum memutuskan siapa yang akan mewakili negara tersebut.

Iklan
Iklan

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, jawatankuasa terdiri daripada sembilan anggota akan membuat keputusan tentang perkara itu.

"Setiausaha Agung, Antonio Guterres menerima surat bertarikh 20 September daripada Amir Khan untuk menyertai sesi perbahasan peringkat tertinggi tersebut," ujarnya.

Iklan

Jelasnya lagi, kandungan surat itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Amir Khan mahu tampil di New York atau hanya menghantar rakaman mesej video seperti dibuat kebanyakan pemimpin pada tahun ini berikutan ancaman pandemik Covid-19 masih tinggi.

Difahamkan, surat itu memaklumkan pemecatan Ghulam Isaczai sebagai Wakil Afghanistan ke PBB dan menamakan jurucakap gerakan itu yang berpusat di Doha, Suhail Shaheen sebagai Wakil Tetap Afghanistan ke PBB.

Iklan

Selain itu, Taliban juga mengesahkan bekas Presiden digulingkan, Ashraf Ghani bukan lagi pemerintah Afghanistan.

"Komuniti antarabangsa tidak lagi mengiktiraf Ashraf sebagai Presiden," jelas kiriman nota itu lagi yang turut menggunakan kepala surat Kementerian Hal Ehwal Luar, Emiriah Islam Afghanistan.

Difahamkan, Guterres juga menerima surat berasingan daripada Ghulam mengandungi senarai delegasi Afghanistan yang akan menyertai sesi tersebut.

Sehingga kini, belum ada negara antarabangsa mengiktiraf pemerintah Taliban secara rasmi selagi ia belum merealisasikan komitmen mereka terhadap hak asasi golongan wanita dan etnik minoriti. - AFP