PENYERANG sensai Bayern Munich, Robert Lewandowski menegaskan, dia tidak perlu untuk membuktikan kehebatannya di liga lain selepas merangkul anugerah Kasut Emas Eropah sebagai penjaring terbanyak musim lalu.
Lewandowski yang dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab juga menegaskan, dia akan terus komited bermain bersama Bayern dan tidak terfikir untuk berhijrah ke liga lain.
"Saya tidak perlu buktikan keupayaan saya di liga lain. Saya masih boleh bersaing dengan pemain yang bagus daripada liga lain di Liga Juara-Juara.
"Saya 100 peratus fokus kepada Bayern dan saya tidak fikirkan mengenai perkara lain selain pasukan saya sendiri," katanya.
Pemain kelahiran Poland itu meledak 41 gol dalam 29 perlawanan Bundesliga musim lalu walaupun terpaksa berehat selama sebulan ekoran kecederaan.
Dia juga berjaya memecahkan rekod Gerd Muller sebagai penjaring terbanyak dalam saingan liga dan memenangi anugerah Kasut Emas Eropah pertama dalam kariernya.
"Saya tidak akan memenangi gelaran ini tanpa sokongan keluarga saya, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan seluruh warga FC Bayern.
"Dalam sukan seperti juga dalam kehidupan penting untuk kita menghargai satu sama lain, memberi sokongan, dan sentiasa berlaku adil.
"Atas sebab itu saya kongsikan anugerah ini kepada semua yang berada di sisi saya setiap hari. Saya amat gembira dengan apa yang kami capai sebagai satu pasukan. Terima kasih," katanya.
Lewandowski cukup tajam di depan gawang sepanjang kariernya dan sehingga bulan lalu dia sudah meledak 230 gol dalam 231 penampilan untuk Bayern sejak tahun 2016.