Sampah antara faktor banjir kilat di Sabah: Bung Moktar

Iklan
Bung Moktar

KOTA KINABALU - Pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab ke dalam sistem perparitan dan pengaliran antara faktor utama menyebabkan banjir kilat di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan pemerhatian, banjir kilat berlaku akibat sistem perparitan sedia ada itu penuh antaranya kerana sampah yang dibuang dan tidak dapat menampung aliran air sepenuhnya seterusnya menyebabkan air melimpah.

Iklan
Iklan

"Masyarakat kita ini nampak sahaja parit buang sampah, itu kita nampak parit kita penuh sampah...mentaliti masyarakat seperti ini perlu kita tukar supaya kita dapat melaksanakan usaha mencegah banjir kilat ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) bertanya adakah projek Lebuhraya Pan Borneo menjadi penyebab kejadian banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.

Iklan

Bung Moktar berkata, projek pembangunan jalan raya termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo berkemungkinan boleh menjadi faktor banjir kilat selain pembangunan pesat negeri terutama di bandar besar seperti Kota Kinabalu tanpa menyediakan utiliti lengkap dari segi perparitan bagi menampung keperluan penduduk.

"Pembangunan di Kota Kinabalu semakin meningkat tetapi utiliti di bawah tidak dirancang dengan baik, kita mesti memastikan (utitili dirancang) itu baik supaya risiko banjir dielakkan yang mana banjir ini akibatkan kemusnahan juga kematian," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pada Jumaat ini (24 Sept) beliau akan mempengerusikan jawatankuasa tindakan khas bagi mengenal pasti faktor sebenar kejadian banjir di Sabah dan mengambil langkah perlu bagi memastikan bencana itu tidak berulang.

Menjawab soalan lisan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) yang bertanya tindakan kerajaan negeri terhadap syarikat konsesi gagal menjalankan tanggungjawab hingga menyebabkan banjir kilat, Bung Moktar berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa melakukan pemantauan terhadap kerja dilaksana syarikat itu.

"Notis Ketidakpatuhan Kerja akan diberikan kepada syarikat jika didapati tidak melaksana kerja mengikut jadual dan tidak mematuhi spesifikasi kerja yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, JKR Sabah melalui syarikat konsesi dan kontraktor penyelangaraan jalan juga telah menambah kekerapan kerja pembersihan sistem perparitan selain penyelengaraan rutin yang dilakukan.- Bernama